Kereta Dinaiki 10 Beranak Terbabas Jatuh Jambatan Di Kuala Ketil


KUALA KETIL- Sepuluh beranak termasuk budak dua tahun dan bayi enam bulan nyaris maut apabila kenderaan jenis Kia Carnival dinaiki terbabas dari atas jambatan Kuala Ketil- Sungai Petani setinggi 100 meter, di sini pagi semalam.

Pemandu kenderaan, Yasir Said, 48, berkata mereka tercampak ke dalam semak, beberapa meter dari Sungai Kampung Pantai Chicar.

Katanya, mereka dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu ke rumah, di Bandar Utama, Sungai Petani apabila kenderaan dipandu hilang kawalan selepas dia terlelap.

“Dari Terengganu kami bertolak jam 7 malam, rasa mengantuk sedikit berhenti, makan-makan, rehat.  Tapi dah nak sampai rumah terlelap juga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam kejadian 6 pagi itu, isteri Yasir, Nur Zanariah Saba, 40, parah apabila patah sembilan tulang rusuk dan dirawat di wad kecemasan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.

Sembilan lagi penumpang termasuk Yasir bagaimana selamat dan dibenarkan keluar. Semua mangsa berusia 5 bulan hingga 48 tahun.

Menurut Yasir lagi, dia sekeluarga bernasib baik apabila tidak terjatuh ke dalam sungai.

“Pagi tadi sungai tak nampak langsung, saya ingat sungai di tengah-tengah, bila cerah baru tau ada sungai.

“Orang kampung sini baik sangat, kami tak lama di bawah, depa datang terus bantu selamatkan keluarga saya,” katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com