Kerajaan Pulau Pinang Timbang Cuti Umum 9 Mei


GEORGETOWN - Kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk memberi cuti umum khas pada 9 Mei ini, bagi menggalakkan rakyat Pulau Pinang keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan bersama beberapa agensi, termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Seri Farizan Darus, sebelum perkara terbabit diputuskan.

"Kita akan timbang untuk mengadakan cuti umum pada 9 Mei ini dan saya akan berbincang dengan SUK dahulu.

"Di Pulau Pinang kesannya mungkin tidak besar, tetapi yang kita bimbang adalah 500,000 pengundi Johor yang bekerja di Singapura," katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 April sebagai hari penamaan calon, diikuti 9 Mei sebagai hari mengundi bagi PRU-14.

Pengundian awal ditetapkan pada 5 Mei dengan tempoh berkempen selama 11 hari, berbanding 15 hari pada PRU-13.

Terdahulu, Guan Eng menghadiri gimik penyerahan 12 kenderaan rasmi kerajaan negeri, di tempat letak kereta orang kenamaan (VIP) di KOMTAR, di sini.

Guan Eng berkata, semua kenderaan rasmi kerajaan negeri itu sudah diserahkan semalam, sebaik kerajaan Pulau Pinang dibubarkan secara rasmi.

"Saya harap perkara ini juga dapat diikuti kerajaan Pusat dan kerajaan negeri lain.

"Ia adalah simbolik kepada penyerahan kembali kuasa kepada rakyat Pulau Pinang dan penghormatan kepada prinsip demokrasi yang diamalkan kita," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com