Kerajaan Peruntuk RM902.5 Juta Bina Rumah PPR Di Kedah


ALOR SETAR - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan memperuntukkan RM902.5 juta untuk membina 5,910 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh Kedah.

Menurut menterinya, Tan Sri Noh Omar, daripada jumlah itu, sebanyak 2,494 unit rumah sudah siap dibina manakala 1,416 unit sedang dalam perlaksanaan dan 2,000 unit dalam perancangan.

Katanya, kerajaan juga sudah meluluskan peruntukan pembangunan sebanyak RM97.5 juta bagi pembinaan 500 unit rumah teres satu tingkat termasuk kemudahan surau, dewan komuniti, TABIKA, TASKA dan kedai.

"Program ini untuk membantu golongan berpendapatan isi rumah bawah RM3,000 sebulan dapat memiliki rumah sendiri kerana kerajaan memberi subsidi kepada rakyat.

"Kos membina rumah itu berjumlah RM195,000 seunit dan dijual pada harga RM35,000. Ini bermakna Kerajaan Persekutuan memberi subsidi sebanyak RM160,000 kepada penerima," katanya memetik BH Online.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran PPR Baling di Kampung Charok Sikin, dekat sini, pada Sabtu.

Turut hadir sama, Ketua UMNO Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohammad Mantek dan Pegawai Daerah Baling, Datuk Md Shuhaimie Abd Rahman.

Tambah Noh Omar, antara projek PPR yang sudah siap ialah di Paya Nahu, Aman Jaya di Sungai Petani, Kuah Langkawi, Kubang Pasu dan Seri Intan, Alor Setar.

Katanya, PPR yang masih dalam pembinaan pula di daerah Alor Setar, Kuala Nerang dan Ayer Hitam manakala dalam perancangan di Bakar Bata, Ulu Melaka dan Kuah di Langkawi serta Baling.

Terdahulu, beliau meluluskan peruntukan RM10 juta untuk membangunkan tasik di Kampung Charok Sikin, Kupang, sebagai kawasan herba. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com