Kerajaan Peruntuk RM547 Juta Untuk Projek Luar Bandar Di Kedah


ALOR SETAR - Kerajaan telah memperuntukkan RM547.9 juta bagi melaksanakan 127 projek pembangunan luar bandar di Kedah sejak tahun 2016 hingga kini.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata antara projek yang mendapat peruntukan terbesar adalah lima projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang berjumlah RM135 juta dan projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) sebanyak RM50.7 juta.

Selain itu, bagi projek lain adalah termasuk jaringan Jalan Tepi Sungai Muda dari Simpang Pokok Machang ke Kuala Sin di Kuala Muda (RM38 juta) dan menaiktaraf Jalan Padang Sera/Siputeh di daerah Kubang Pasu (RM15 juta).

"Sebahagian daripada projek berkenaan sudah siap," katanya pada majlis pecah tanah Projek Jalan Luar Bandar dari Simpang Pokok Machang ke Kuala Sin di Bukit Selambau di sini, pada Rabu.

Turut hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd Tajudin Abdullah.

Difahamkan, antara projek BALB yang dilaksanakan ialah BALB Sistem Retikulasi Tahun 2015 Negeri Kedah dengan kos RM 5.2 juta, BALB di daerah Padang Terap-Pakej A (RM7.5 juta), BALB di daerah Padang Terap- Pakej B (RM9.8 juta) dan BALB di daerah Padang Terap-Pakej C (RM8.25 juta).

Memetik BH Online, Ismail berkata kementeriannya turut melaksanakan 25 projek BALB yang dilaksanakan secara sebut harga bernilai RM7.2 juta, bertujuan mempercepatkan penyambungan paip retikulasi bagi capaian pengguna kepada bekalan air bersih.

Mengenai projek yang dirasmikan pagi semalam, Ismail Sabri berkata projek itu akan dimulakan selewat-lewatnya Ogos depan selepas proses reka bentuk dan pengambilan balik tanah selesai.

Projek pembinaan jalan raya sepanjang 7.6 kilometer itu dijangka siap pada tahun 2020. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com