Kerajaan Kembalikan Kutipan Cukai RM1 Juta Buat Kedah


ALOR SETAR - Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) bersedia mengembalikan kutipan cukai pelancongan berjumlah RM1 juta pada tahun lalu kepada Kedah bagi pelaksanaan projek pelancongan di negeri ini.

Menurut Menterinya Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, sebahagian daripada wang yang dikembalikan itu akan disalurkan ke Langkawi untuk pelaksanaan pelbagai projek baharu.

“Secara keseluruhannya, MOTAC mengutip RM56 juta cukai pelancongan daripada pengusaha hotel seluruh negara tahun lalu, dan kutipan dari Kedah ialah RM2 juta.

“Untuk itu, kita memutuskan mengembalikan sebahagian kutipan dengan agihan masing-masing RM500,000 kepada tanah besar Kedah dan Langkawi,” katanya memetik MyMetro.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program My Kampung Tourism - Jom Pakat Mai Langkawidi Tanjung Rhu di Langkawi, malam tadi.


Turut hadir sama dalam majlis berkenaan, Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Rashidi Hasbullah.

Tambah Mohamed Nazri, langkah yang dilakukan itu dilihat lebih adil kerana sebahagian besar kutipan cukai pelancongan datang dari Langkawi yang memiliki banyak hotel yang berdaftar dengan MOTAC.

Katanya, kerajaan melaksanakan cukai pelancongan berkuat kuasa 1 September lalu ke atas pelancong asing sahaja pada kadar RM10 untuk setiap bilik bagi satu malam

“Secara mudahnya, daripada RM10 yang dikutip itu kementerian ambil RM5, manakala RM5 lagi dibahagikan secara adil dan saksama kepada Kedah dan Langkawi.

“Wang ini kelak boleh digunakan untuk program membabitkan penduduk kampung, selain projek kecil seperti pembinaan jeti pelancongan,” ujarnya. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com