Kerajaan Beri RM1.3j Majukan Sektor Pertanian Di Kuala Muda


ALOR SETAR - Peruntukan sebanyak lebih RM1.3 juta dihulurkan bagi memajukan sektor pertanian, seperti projek tanaman pisang dalam kalangan petani di daerah Kuala Muda pada tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pen­didikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain menjelaskan peruntukan tersebut telah memberi manfaat kepada seramai 831.

“Peruntukan ini bagi membantu golongan sasar supaya mereka bekerja lebih keras untuk meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

“Saya faham tidak begitu mudah untuk melaksanakan sesuatu projek tetapi sebenarnya, berbakti kepada tanah dengan mengguna bantuan diberikan oleh kerajaan, ia boleh menampakkan hasil dengan syarat diusahakan secara bersungguh-sungguh tanpa jemu,” katanya memetik Utusan.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Festival Banana Bukit Selambau Peringkat Daerah Kuala Muda 2918 di Kampung Sungkup Mukim Teloi Kiri, di Merbok, semalam.

Turut sama hadir, Pegawai Daerah Kuala Muda, Md. Nordin Yahya; Pensyarah Jabatan Institut Sains Biologi dan Pengarah UMCares Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Norzulaani Khalid; Pegawai Pertanian Daerah Kuala Muda, Nor Hafizah Abdul Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Neo Pragmatik Sdn. Bhd, Mohd. Norhisham Muhammad Daud dan Pegawai FAMA Daerah Kuala Muda, Mohd. Fauzi Hashim.

Menurutnya, pada tahun 2016 Jabatan Pertanian mengambil langkah melaksanakan projek tanaman pisang di atas tanah seluas 1,722 hektar.

Usaha itu berjaya menghasilkan pengeluaran sebanyak 7,727 tan dan perkara itu adalah baik sekali.

“Apabila projek begini dapat diteruskan pada tahun ini dan penduduk dibekalkan dengan anak benih pisang berangan dan nangka lagi, banyak perubahan dijangka berlaku dalam sektor pertanian pada masa akan datang.

“Saya berharap jabatan lain, termasuk Mardi, Lembaga Pertubuhan Peladang, FAMA dan lain-lain dapat memberi kerjasama bagi memajukan sektor pertanian itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pertanian (Pengembangan) negeri, Ahmad Munir Yusoff berkata, program berkenaan menyadiakan anak benih pisang berangan dan nangka kepada penduduk dari Kampung Sungkup, Kampung Jerai, Kampung Perak dan Kampung Kuala Sin.

“Program kali ini mendapat kerjasama antara Universiti Malaya (UM), Syarikat Neo Pragmatik Sdn. Bhd dan Jabatan Pertanian.

“Semua peserta projek tanaman pisang diberikan taklimat khas tentang cara menanam, penggunaan baja serta lain-lain. Usaha ini boleh menambah pendapatan penduduk jika ia dikendalikan dengan penuh minat sebelum ia mengeluarkan hasil nanti,” katanya.

Seorang petani, Azizan Abdul Rahman, 52, dari Kampung Kuala Sin bersyukur, projek tanaman pokok pisang berangan dan nangka mencapai matlamatnya setelah mendapat bimbingan dan tunjuk ajar oleh pelbagai agensi kerajaan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com