Kera Ganas Ancam Keselamatan Penduduk Taman Kenari, Kulim


ALOR SETAR - Kira-kira lebih 100 penduduk di Taman Kenari bimbang di Kulim merasa bimbang dan khuatir dengan kehadiran serta ancaman kera liar yang ganas mengganggu mereka sejak lebih setahun lalu.

Menurut seorang suri rumah, Ngisah Hasan, 63, kera liar mula hadir di kediaman mereka mengganggu dan menyerang rumah penduduk berlarutan sejak tahun lalu.

Tidak cukup dengan berkeliaran dan bermaharajalela di luar rumah, kera ini juga bertindak berani dengan memasuki ke dalam rumah melalui bumbung dan mencuri makanan.

“Ada lubang-lubang kecil, tingkap pecah pun kera akan masuk, depa curi makanan terutama sekali telur ayam.

“Makanan kucing yang diletakkan di kawasan parkir dalam pagar rumah juga habis dikacau dan diselerakkan. Pokok buah yang ditanam penduduk juga tak sempat nak rasa hasilnya, habis dicuri kera.

“Nak tinggal rumah pun takut, nak pergi mana-mana mesti kena ada seorang jaga di rumah kalau tak habis rumah dipunggah dan diselerakkan,” katanya dipetik Sinar Harian.

Bagi seorang lagi suri rumah, Siti Nur Suhana Zulkifli, 35, berkata, kerisauan yang menghinpit penduduk di kawasan taman ini memaksa mereka mengambil inisiatif mengikat tong sampah dan meletakkan bata.

“Tambah kalau tong sampah di luar rumah, lagilah kera ini selongkar. Kami ambil getah ikat pun dia tarik buang, tong sampah pun depa tendang.

“Habis bertabur sampah, kami pula nak kena sapu dan kemas semula. Kadangkala kami terpaksa simpan sampah sampai tiga hingga empat hari. Bayangkanlah bau sampah dalam rumah,” katanya.

Selain itu, keselamatan kanak-kanak juga terancam dan menyukarkan penduduk melakukan aktiviti harian ekoran kera ganas ini sering mengganggu mereka.

“Kami halau depa tak takut, lagi mai (datang) dekat nak terkam. Kadang-kadang kita dekat dalam anak bermain di luar pun rasa tak tenang kerana takut diserang pula dengan kera ini,” katanya.

Diharapkan supaya pihak penduduk kawasan itu mengadukan keluhan ini kepada pihak yang bertanggungjawab dan bantuan dari pihak berkenaan juga diperlukan bagi membendung masalah ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com