Kenyang Melingkar Lepas Bedal Anak Kambing…


TAIPING – Ular sawa sepanjang hampir lima meter yang kekenyangan setelah baham seekor anak kambing di Selama, di sini, berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), petang Isnin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.18 petang itu, tujuh anggota APM terpaksa mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk menarik keluar ular yang dianggarkan hampir 70 kilogram itu dari sebuah kawasan paya berhampiran pusat Giatmara Selama.


Pegawai Pertahanan Awam Unit Selama, Leftenan (PA) Azman Amat berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada penduduk memaklumkan menemui reptilia gergasi berkenaan yang berada di dalam sungai.


“Kami tidak berdepan masalah kerana ular sawa itu tidak agresif berikutan masih kekenyangan selepas menelan anak kambing.

“Ular sepanjang kira-kira lima m dan seberat hampir 70 kilogram itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selama untuk tindakan lanjut,” katanya seperti yang dipetik portal Harian Metro.

Sementara itu keadaan cuaca hujan dan lembab di daerah ini mungkin menyebabkan ular berkenaan keluar mencari makan dan menjadikan ternakan penduduk sebagai sasaran. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com