Kenaikan Pangkat Gred 56, Berita Baik Untuk Sektor Pendidikan


ALOR SETAR - Pengumuman kenaikan pangkat DG56 bagi Skim Pegawai Perkhidmatan Pendidik akan memberi manfaat kepada pengetua sekolah, pegawai di pejabat pendidikan daerah dan juga ketua sektor di Jabatan Pendidikan negeri yang berada pada pagkat DG54.

Menurut Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pengumuman kewujudan gred 56 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini akan memberi impak positif kepada perkhidmatan pendidikan kerana ia membolehkan pegawai naik satu lagi pangkat gred.

“Saya sangat berpuas hati dengan pengumuman perdana menteri berkaitan DG56 ini, ia satu langkah yang sangat baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Amanat Perdana  Perkhidmatan Awam Ke-16 (MAPPA XVI) di sini semalam.

Pengumuman oleh perdana menteri yang berkuatkuasa 1 Januari tahun depan (2019) itu bakal memberi peluang kenaikan pangkat 323 pegawai dengan implikasi kewangan sebanyak RM7.4 juta.

Tambah Mahdzir, penambahan lapisan gred 56 itu membolehkan pegawai pendidikan di gred 54 peluang untuk naik setangga lagi sekiranya tidak dapat naik ke Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA C).

“Ketika ini gred bagi pegawai pendidikan bermula daripada DG41 sampai DG54, sebelum ke JUSA C, jadi bagi mereka yang tidak sampai ke JUSA C itu,  boleh pergi ke DG56,” katanya memetik Bernama. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com