Kempen Tun M Di Hulu Terengganu Tiada Kesan


KUALA BERANG - Kehadiran Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad, ke kawasan Parlimen Hulu Terengganu esok, diyakini tidak memberi ancaman kepada Barisan Nasional (BN).

Calon BN, Datuk Rosol Wahid, berkata beliau yakin perpaduan dan sokongan masyarakat di kawasan berkenaan tetap kepada BN.

Beliau juga percaya rakyat mampu menilai apa sumbangan diberikan BN kepada mereka dan tidak sesekali terpengaruh dengan janji palsu yang akan ditaburkan pihak pakatan pembangkang.

Katanya, sebelum ini sudah terbukti apa yang BN janjikan akan dilaksanakan dan rakyat di Hulu Terengganu sendiri dapat merasai pembangunan yang dicapai.

"Bagi saya, tidak menjadi ancaman walaupun Tun datang ke sini untuk berkempen. Pembangkang tidak mampu bertapak di sini (Hulu Terengganu)," katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah Bandar Baru Gawi di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan & Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat, yang juga calon BN dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemung.

Kerusi Parlimen Hulu Terengganu dikatakan menjadi sasaran utama pakatan pembangkang di negeri ini hingga menyebabkan Dr Mahathir sendiri sanggup turun berkempen di kawasan berkenaan.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini, Rosol berdepan dengan calon PKR, Datuk Razali Idris dan calon PAS, Muhyidin Abdul Rashid.

Rosol juga menyifatkan kehadiran calon PKR yang bertanding di kawasan berkenaan sebagai pelik kerana Razali daripada PPBM yang bertanding menggunakan logo PKR bukan anak tempatan Hulu Terengganu, sebaliknya dari Marang.

Tambah beliau, Razali bertanding di kawasan itu tetapi tidak boleh mengundi di Parlimen Hulu Terengganu.

"Tidakkah pelik tindakannya itu, untuk apa dia bertanding kalau diri sendiri tidak boleh mengundi, ada kemungkinan juga dia sendiri tidak serius untuk jadi wakil rakyat di sini," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com