Kementerian Kesihatan Sahkan Rakyat Malaysia Bebas Campak


KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan mengesahkan dua penumpang warga Malaysia yang didakwa menjadi kontak dalam kes jangkitan demam campak seorang rakyat New Zealand, sihat dan tidak menunjukkan gejala jangkitan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kedua-dua penumpang itu dikesan oleh Kementerian Kesihatan dan nasihat sudah diberikan agar mereka mendapatkan rawatan jika mempunyai gejala demam campak.

"Pihak kementerian juga sedang mendapatkan maklumat lanjut dari pihak Malaysia Airlines mengenai penumpang lain yang mungkin terdedah kepada kes demam campak dalam penerbangan Malaysia Airlines MH781 dari Bangkok ke Kuala Lumpur dan MH133 dari Kuala Lumpur ke Auckland pada 14 April lalu.

"Kementerian Kesihatan juga akan terus berhubung dengan pihak Kementerian Kesihatan New Zealand mengenai status dan langkah-langkah pencegahan serta kawalan, termasuk pengesanan kontak (contact tracing) yang dijalankan.

"Warga New Zealand itu disyaki mendapat jangkitan demam campak ketika berada di Bangkok, dia kemudian ke Kuala Lumpur dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selama 10 jam, sebelum menaiki penerbangan ke Auckland," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 14 April lalu, seorang warga New Zeland mengalami gejala ruam akibat jangkitan demam campak ketika dalam penerbangan dari Bangkok ke Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur ke Auckland menggunakan penerbangan Malaysia Airlines.

Kementerian Kesihatan New Zealand kemudian memaklumkan dua penumpang warga Malaysia dikenal pasti sebagai kontak dan sudah kembali ke Malaysia pada 21 April 2018.

Mengulas lanjut Dr Noor Hisham berkata orang ramai, terutamanya yang mengunjungi atau bekerja di KLIA atau yang menggunakan penerbangan Malaysia Airlines agar tidak khuatir dengan kes berkenaan.

"Sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan etika batuk yang betul, bagi yang ingin melancong ke luar negara perlu memastikan mereka dalam keadaan sihat.

"Segera berjumpa doktor sekiranya mendapat sebarang tanda atau gejala demam campak untuk rawatan segera.

"Kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan demam campak yang teruk adalah kanak-kanak terutama yang tidak pernah mendapat imunisasi," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com