Kemarau Di Kedah Tidak Jejas Air Di Empangan Pedu


ALOR SETAR - Kemarau serta cuaca panas yang melanda negeri Kedah dan Padang Terap pada waktu kini dilaporkan tidak menjejaskan bekalan air di Empangan Pedu seperti mana yang berlaku pada tahun lalu.

Pengusaha rumah bot, Amir Wahab, 42, menjelaskan bahawa meskipun suhu pada kali ini pernah mencecah sehingga 38 darjah celsius, namun begitu ia tidak meninggalkan kesan terhadap bekalan air di Empangan Pedu.


Apa yang difahamkan Amir, pada sekitar tahun lalu, paras air di Empangan Pedu mengalami sedikit penyusutan dan ia turut menjejaskan perniagaannya.

“Masa tu, warna air empangan bertukar dan aktiviti melancong di sini turut terganggu. Pelancong pergi ke tempat lain.


"Paras air menyusut dalam empangan menyebabkan pemandangan menjadi kurang menarik dan mereka yang menempah untuk bermalam di situ, membatalkan tempahan,” katanya memetik Sinar Harian.

Namun begitu, pada tahun ini meskipun mengalami musim kemarau dan cuaca panas akan tetapi ia membawa rezeki kepada mereka kerana air yang penuh di dalam empangan menawarkan pemandangan indah kepada pelancong dan mereka juga dapat bermandi-manda dengan sempurna.


Tambah Amir, pelancong dapat melakukan pelbagai aktiviti seperti berenang di dalam kolam, berkayak serta menikmati pemandangan cantik pada waktu senja dengan cuaca yang baik dan sempurna.

Sementara itu, Ahmad Awang, 67, berkata, pencari madu di kawasan itu sangat bersyukur kerana kemarau yang melanda hari ini tidaklah panas seperti dahulu dan ia membawa rezeki kepadanya.

“Pada musim panas yang lalu banyak pokok tidak berbunga dan menjejaskan pengeluaran madu di daerah ini.

"Malah, banyak sarang kelulut kosong kerana berhijrah.

“Tahun ini agak berlainan, walaupun cuaca panas, pokok di sekitar kawasan ini sudah mula berbunga dan keadaan  ini mampu meningkatkan pengeluaran madu," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com