Kemakmuran Ekonomi Dikecapi Rakyat, Hasil Kecekapan BN


POKOK SENA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengulangi peringatan kepada rakyat agar terus memberi mandat kepada BN pada PRU14, bagi memastikan kesinambungan kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi dapat dikecapi.

Menurutnya, kerajaan BN mempunyai rekod cemerlang sama ada dalam konteks pertumbuhan ekonomi negara mahupun kesejahteraan rakyat.

Ini dibuktikan dengan pengurusan ekonomi cemerlang bawah kepimpinan kerajaan BN sehingga membolehkan rakyat beroleh manfaat.

“Khamis lalu, penanda aras pasaran tempatan, Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysa (FBM KLCI) mencecah paras tertinggi dalam sejarah ekonomi negara. Siapa kata rakyat tak untung, bukan semua main saham, tetapi ada yang melabur dalam Amanah Saham Nasional (ASN), wang simpanan, selain Amanah Saham Didik,” katanya, ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat sempena majlis pecah tanah Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di Kampung Padang Tembak.

Hadir sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Menurutnya, keuntungan hasil lonjakan ekonomi dan saham diberi semula kepada rakyat.

“Kalau saham naik, Permodalan Nasional Berhad (PNB) untung, PNB beri balik pada rakyat dalam bentuk dividen dan bonus, ada yang menyimpan sebagai pelabur dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bila saham naik, KWSP isytihar dividen seperti mana dividen tertinggi baru-baru ini,” katanya.

Najib berkata, selain dasar dan keyakinan pelabur terhadap negara, prestasi cemerlang ini adalah hasil kesepakatan dan muafakat kalangan pemimpin BN mentadbir negara.

“Berbeza dengan pakatan pembangkang yang dilihat berdepan pertembungan ideologi sesama mereka, kepincangan ini bukan perkara kecil, kerana pertembungan ideologi membawa kepada percanggahan dasar yang serius dan merugikan rakyat,” katanya.

Menurutnya, pertembungan itu akan menjadikan pemimpin pembangkang tidak sehaluan dalam mentadbir negara jika diberikan mandat.

“Manifesto mereka kelak hanya tinggal janji atas kertas saja, dan tak mungkin diterjemah sebagai realiti. Menjanjikan sesuatu sehingga ada istilah janji politik memang mudah disebut, namun tiada kemampuan, tiada keikhlasan untuk penuhi janji itu,” katanya.

Najib berkata, rakyat pastinya mahukan keadaan negara bertambah baik berbanding hari ini dan ia mampu dilaksanakan bawah pentadbiran BN.

“Ini bukan berita palsu yang dibawa pembangkang kononnya negara bankrap, macam mana  dituduh negara perlu diselamatkan, jika saham kita capai tahap tertinggi dalam sejarah, maknanya ekonomi berkembang positif. Berbanding masa krisis 1997, bawah ‘orang itu’ rezab negara cuma US20 bilion, kini melonjak kepada US110 bilion,” katanya.

Sehubungan itu, Najib mengingatkan rakyat supaya memilih parti yang boleh dijadikan tempat bergantung dalam usaha menjulang negara di puncak kecemerlangan selain memastikan pembangunan terus dinikmati rakyat.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com