Kemajuan MRT Laluan SSP Melepasi 24 Peratus Siap


KUALA LUMPUR – Projek Transit Aliran Massa (MRT) bagi laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) mencatat kemajuan yang memberangsangkan apabila kerja-kerja pembinaan bagi keseluruhan projek itu adalah mengikut jadual dengan melepasi 24 peratus telah siap.

Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp), Datuk Najmuddin Abdullah, berkata tahap kemajuan laluan itu adalah petanda baik bagi memastikan projek berkenaan siap mengikut jadual ditetapkan.

“Secara keseluruhan, kemajuan projek sudah melepasi 24 peratus dan kita berada beberapa minggu lebih awal dari jadual asal.

“Ini adalah satu petanda baik bagi sebuah projek besar dan adalah penting pada peringkat awal untuk kemajuan projek berada lebih awal daripada jadual kerana kita tidak tahu apa cabaran yang akan menanti,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan demonstrasi operasi pemadaman kebakaran dan menyelamat di tapak pembinaan stesen MRT Bandar Malaysia, berhampiran Sungai Besi di sini, semalam.

Menurutnya berdasarkan perkembangan kerja-kerja pembinaan semasa, diyakini projek dianggar bernilai RM32 bilion itu dapat disiapkan tepat mengikut garis masa yang ditetapkan sama seperti projek MRT bagi laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK).

Berhubung demonstrasi tahap keselamatan stesen MRT itu, Najimuddin berkata operasi kerja-kerja penyelamatan itu berjalan lancar dan memberikan keyakinan kepada masyarakat terhadap keupayaan pasukan kecemasan MMC Gamuda KVMRT (T) Sdn Bhd (MGKT).

“Pasukan respons kecemasan projek MGKT menggabungkan tiga unit berasingan iaitu pasukan pemadam kebakaran, pasukan respons kecemasan di lokasi dan pasukan respons kecemasan trafik.

“Demonstrasi ini penting untuk menunjukkan tahap kesiapsiagaan kami bagi menghadapi sebarang insiden kecemasan,” katanya.

MRT SSP dijangka siap pada Julai 2022 dan bakal memiliki 35 stesen, termasuk 11 stesen bawah tanah sepanjang 52.2 kilometer (km).

MRT laluan SSP bakal menggunakan sebanyak 12 Mesin Pengorek Terowong Ketumpatan Berubah (VDTBM) bagj kerja pembinaan berkenaan yang turut merangkumi pembinaan stesen yang antaranya berada sehingga 44 meter di bawah tanah. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com