Keluarga Prebet Adam Mohon Maaf, Siapa "Dalang" Di Sebalik Mitos Palsu?


ALOR SETAR - Kisah gempar mengenai insiden amukan Prebet Adam yang berlaku pada 1987 hari ini kembali kecoh diperkatakan apabila adik perempuannya, Hawa Jaafar, tampil merayu kepada media supaya menyebarkan perkara sebenar yang terjadi.

Hawa berkali-kali menegaskan bahawa amukan abangnya, Adam Jaafar, sebenarnya langsung tidak ada kena mengena dengan kerabat DiRaja Johor sebagaimana cerita tular yang meniti dari mulut ke mulut sejak insiden itu berlaku kira-kira 31 tahun yang lalu.

"Adam mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada tahun 1987 kerana masalah di tempat kerja dan bukannya kerana adik kami dibunuh Almarhum Sultan.

"Semua adik beradik kami masih hidup, hanya seorang sahaja yang sudah meninggal dunia pada tahun 1975 kerana kejadian kebakaran di rumah," katanya dalam satu sidang media di Georgetown, hari ini.

Memetik lanjut sebagaimana yang dilapor Berita Harian, Hawa turut menegaskan bahawa mereka sekeluarga tidak pernah mengenali seorang pun keluarga kerabat Diraja Johor.

Malah lebih buruk lagi katanya, mereka sekeluarga turut menjadi mangsa pihak tertentu ketika itu apabila difitnah menerima wang sogokan sebanyak RM10,000 sebulan bagi menafikan perkara terbabit.

"Lihatlah kediaman saya, kami cuma orang biasa. Kami tidak pernah terima sesen pun duit daripada mana-mana pihak untuk nafikan hal ini," katanya yang tinggal di Pangsapuri Taman Desaria Sri Merpati, di Georgetown.


Turut hadir di sidang media itu adalah dua lagi adik Prebet Adam iaitu Arina Jaafar dan Arman Jaafar. Adam adalah anak sulung daripada sembilan beradik.

Isu mengenai kejadian Adam mengamuk itu kembali mendapat perhatian ramai pihak selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menyatakan pendapat peribadinya dan mengkritik "individu berumur 93 tahun yang ingin menjadi perdana menteri".

Kenyataan keluarga Adam itu turut sekaligus mengesahkan pendedahan menggemparkan seorang wartawan jenayah ternama, Syahril A. Kadir, yang sebelum ini menulis sebuah buku khas mengenai kisah ini bertajuk "Konfesi Prebet Adam; Malam Sial Untuk Adam. Membunuh. Dibunuh Atau Mampus Bunuh Diri".

Pendedahan buku berkenaan turut menyaksikan Adam telah membuat akuan bersumpah secara sah yang membersihkan nama dan imej Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail, dan seluruh kerabat DiRaja Johor dari terus terpalit dengan fitnah dan pandang serong akibat pihak yang tidak bertanggungjawab.

Membariskan saksi-saksi hidup dan terlibat dalam insiden amukan Adam itu, Syahril mengupas satu persatu tentang perkara sebenar yang terjadi daripada sumber bekas Renjer itu sendiri yang kini difahamkan tinggal di Pulau Pinang.

Buku yang ditulis Syahril itu kemudian laris dan menerima sambutan hangat di pasaran sehinga terpaksa diulang cetak beberapa kali selain turut diterjemah ke dalam bahasa Inggeris, "True Story: Amok At Chow Kit".

Berdasarkan perkembangan terkini, ramai pengkritik dan pemerhati mencetus tanda tanya tentang siapakah yang sebenarnya menjadi dalang kepada cerita palsu berkenaan insiden amukan Prebet Adam itu.

Terdapat pandangan yang mendakwa dalang di sebalik insiden penularan cerita bohong itu adalah mereka yang dilihat mendapat "manfaat politik" di zaman itu, termasuk bagi menjayakan kempen mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu yang mengakibatkan krisis perlembagaan berlaku.

Desas-desus itu juga turut mengaitkan tentang tekanan yang sengaja diberi kepada Raja-Raja Melayu supaya akur kepada pindaan perlembagaan yang ketika itu ditentang hebat oleh parti-parti pembangkang ketika itu, termasuk DAP. - Kedahnews.com

Kes Prebet Adam: Nama Baik Kesultanan Johor Perlu Dibersihkan

Keadilan Buat Prebet Adam & Almarhum Sultan Iskandar!

Ulasan: Konfesi Prebet Adam - Part I

Ulasan: Malam Sial Untuk Adam - Part II

Kisah Sebenar Prebet Adam Kian Hangat Terbongkar, Terpaksa Diterjemah Ke BI

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com