Keluarga Minta Jenazah Dibawa Pulang Ke Gaza


KUALA LUMPUR – Keluarga pensyarah dan imam warga Palestin Dr Fadi Mohammed Al Batsh yang mati ditembak di Setapak semalam, merayu agar jenazahnya dibawa pulang untuk dikebumikan di negara kelahirannya.

Menurut Pengurus Besar Organisasi Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Antarabangsa (IESCO) Dr Mahmoud Shakfa, keluarga Allahyarham telah berpesan supaya perkara itu dibuat bagi membolehkan mereka menatap wajah arwah buat kali terakhir setelah tujuh tahun tidak berjumpa.

“Ayah Dr Fadi telah menghubungi kami meminta supaya jenazahnya dibawa pulang ke tempat kelahirannya di Jabalia, Gaza. Seluruh keluarganya terutama ibu dan adik-beradiknya ingin menatap wajahnya buat kali terakhir.

“Usaha sedang giat dijalankan melalui kerjasama pihak kedutaan Palestin, Mesir dan juga Malaysia bagi urusan logistik untuk membawa jenazah ke Gaza,” katanya kepada pemberita di Hospital Selayang di sini hari ini. Jenazah kini berada di hospital itu untuk proses bedah siasat.

Difahamkan, abang mangsa dijangka tiba petang ini dari Jerman.

Ditubuhkan pada 2016 sebagai badan bukan berasaskan keuntungan bebas berpangkalan di Malaysia, IESCO bertujuan menyokong dan membangunkan sektor pendidikan, kebudayaan dan saintifik dunia Arab dan Islam amnya, khususnya di kawasan yang kurang bernasib baik.

Sementara itu, Anggota Lembaga Pemegang Amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Dr Mohd Zin Kandar berharap kerajaan membantu memudahkan urusan membawa pulang jenazah ke Palestin.

Badan itu juga berharap kerajaan Mesir memudahkan proses berkenaan atas dasar kemanusiaan.

“Berdasarkan pengalaman, laluan paling pantas untuk ke Gaza adalah melalui Rafah di sempadan Mesir dan Palestin. Jadi harapan kami ialah supaya semua pihak berkaitan dapat memberi kerjasama penuh,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi semalam, Dr Fadi ditembak mati ketika berjalan ke surau dekat sebuah kondominium di Jalan Meranti, Setapak, untuk menunaikan solat subuh.

Polis setakat ini tidak mengumumkan identiti mangsa tetapi Kedutaan Palestin di sini berkata mangsa dikenali sebagai Dr Fadi Mohammed Al Batsh. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com