Keluarga Lim Dah Lama Dendam Tan Seng Giaw


PENYINGKIRAN ahli Parlimen Veteran DAP, Dr. Tan Seng Giaw daripada dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ini membuktikan bahawa DAP ialah sebuah parti paling autoritarian dan memerlukan semua ahli mematuhi setiap kehendak pemimpin.

Kalau ada lagi bukti yang diperlukan untuk mengatakan yang DAP ialah sebuah parti yang menuntut kepatuhan sepenuhnya tak ubah seperti gaya kepimpinan diktator, sepatutnya ini jadi bukti yang paling jelas.

Penyingkiran pemimpin yang tidak sebulu dengan keluarga Lim dan kepimpinan tertinggi ini memang menjadi amalan biasa dalam parti cauvinis Cina itu sejak dulu.

Dulu, Lee Lam Thye disingkir oleh DAP kerana telah menjadi sangat popular hingga dianggap menjadi ancaman kepada kepimpinan DAP yang lain.

Wee Choo Keong juga disingkir, bukan kerana masalah atau prestasi tetapi kerana tuduhan yang tidak jelas tentang kepatuhan terhadap pemimpin parti.

Wee sendiri menyebut DAP sebenarnya dikuasai oleh keluarga Lim dan kepentingan keluarga Lim yang paling dijaga dan dipertahankan.

Selain dipecat, pelbagai tindakan disiplin dikenakan pada mereka yang berani tidak sehaluan dengan pandangan pemimpin tertinggi, yang biasanya bermaksud keluarga Lim diketuai Lim Kit Siang.

Di Johor beberapa tahun lepas, pemimpin seperti Dr. Boo Cheng Hau dan Norman Fernandez terpinggir selepas tidak mengikut skrip pemimpin tertinggi parti walaupun amat dihormati di peringkat negeri.

Perkara yang hampir sama kemudian berlaku di Selangor apabila pemuka-pemuka DAP mahu melaksanakan “langkah Kajang” dan perlu menyeragamkan semua skrip.

Mereka yang tidak patuh sepenuhnya seperti biasa akan berhadapan risiko dipinggir atau disingkir terus tidak dicalonkan lagi atau lebih buruk dipecat dari parti.

Banyak lagi pemimpin lain boleh disenaraikan, yang semuanya melibatkan kepentingan kuasa utama dalam parti DAP yakni keluarga Lim.

Kes salah guna kuasa di Pulau Pinang melibatkan Lim Guan Eng juga mendedahkan lagi yang DAP ini milik keluarga Lim.

Kalau sebelum ini lantang mendesak mana-mana pemimpin letak jawatan bila dituduh salah guna kuasa, Guan Eng dibiarkan malah dibela, dan UMNO pula dipersalahkan.

Tidak dapat dibandingkan betapa bisingnya mereka apabila dakwaan salah guna kuasa melibatkan pemimpin parti lain, dan senyap sunyi bila kena pada mereka sendiri.

Kisah Guan Eng terus dilantik sebagai ketua menteri pun telah menunjukkan bagaimana DAP dimiliki keluarga Lim.

Takkan tidak ada langsung tokoh lain di Pulau Pinang boleh menjadi ketua menteri. Guan Eng juga yang diberi habuan terbesar diperolehi DAP itu.

Sekarang, bila berhadapan dengan dakwaan salah guna kuasa, pemimpin-pemimpin lain takut untuk bersuara menuntut Guan Eng berundur dari jawatan parti.

Apa yang disibukkan ialah 1MDB hingga sikap Tan yang tidak mahu mengaitkan PM Najib dengan salah laku disingkir, sedangkan kalau dalam parti lain, hal ini mungkin sekadar isu perbezaan pendapat dan tidak membawa kepada penyingkiran.

Selain 1MDB, Tan juga dianggap menggugat Guan Eng di Pulau Pinang apabila pada 22 Oktober tahun lepas menulis sepotong sajak di Twitter mengenai kes tanah runtuh di Tanjung Bungah yang mengorbankan nyawa.

Sajak bertajuk “Tanah Runtuh di Lereng Bukit” itu menyentap Guan Eng kerana masalah alam sekitar tidak dijaga dan dibiarkan musnah oleh projek perumahan dikritik oleh pemimpin DAP sendiri.

Inilah gambaran kepada sikap DAP melibatkan kuasa, tidak boleh berkompromi dan akan menyingkir tanpa belas kasihan dan pertimbangan adil.

Wajarkah mereka yang mempunyai sifat diktator seperti ini dibenarkan mendapat lebih kuasa dalam negara kita ini?  - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com