Kelangsungan Generasi Masa Depan Diutamakan


KUALA LUMPUR – Keprihatinan Barisan Nasional (BN) terhadap kelangsungan generasi muda Malaysia terserlah melalui pelbagai janji yang terkandung dalam manifestonya untuk pilihan raya umum ke-14 (PRU14), termasuk menyediakan anak muda berusia bawah 30 tahun dengan pekerjaan atau latihan bersesuaian untuk mendapat kerja dalam tempoh enam bulan.

Bertemakan ‘Bersama BN Hebatkan Negaraku’, manifesto itu berjanji mewujudkan tambahan 50,000 peluang pekerjaan di bidang Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET), melalui TVET Bootcamp selama tiga hingga enam bulan yang dirangka bersama bakal majikan.

Ini antara tawaran BN yang terkandung dalam manifesto itu yang dilancarkan Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam tadi, selaras dengan usaha merealisasikan agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Ia berjanji meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan melalui latihan amali berstruktur (internship) dan kemahiran insaniah kepada pelajar universiti awam.

Usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan menganggur melalui program Apprenticeship Malaysia dalam lima industri rintis.

Janji-janji lain BN yang digariskan di bawah Teras TN50 yang dilancarkan itu ialah:

Menambah jumlah Rumah Transit Belia 1Malaysia sebagai kemudahan kepada belia yang baru bekerja.

Memperkasa pelajar lepasan Maahad Tahfiz melalui program keperantisan dan pemadanan latihan amali berstruktur di syarikat berasaskan industri halal.

Menganjurkan kelas seni dan program sukan untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah di Projek Perumahan Rakyat dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin.

Memperkasa peranan belia dalam pembangunan negara dengan mencerna idea dasar baharu. Yang Terbaik (melalui aplikasi MyCadang) akan dipilih untuk pembentangan bulanan kepada mesyuarat Jemaah menteri

Menyediakan dana tahunan untuk setiap idea terbaik bagi 10 aspirasi utama dalam Kanvas Belia TN50.

Memperhebat program MyLESEN dengan menyediakan subsidi untuk mengambil lessen motosikal kelas B2.

Melatih belia Orang Asli dengan pengetahuan dan kemahiran untuk menerajui industri hijau dan penjagaan alam sekitar.

Mengurangkan beban untuk pasangan muda yang ingin berkahwin.

Membina portal dan aplikasi e-Riadah.

Mempertingkat penglibatan belia dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui penubuhan Majlis Belia PBT.

Menaik taraf kompleks-kompleks Belia dan Sukan di seluruh negara.

Menaik taraf struktur kompleks-kompleks sukan mini di peringkat kejiranan.

Memperkasa belia yang berkhidmat dalam perkhidmatan awam melalui program Skim Rentas Kerjaya.
Memperluas program perantisan dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC)
Mewujudkan peluang latihan digital di Pusat Internet 1Malaysia bagi menyedikan belia luar bandar untuk pekerjaan alaf baharu.

Meluaskan penggunaan YEN sebagai portal sehenti untuk usahawan muda.

Mempertingkat jumlah usahawan belia luar bandar dengan memperluas Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) di setiap daerah.

Meneraju misi pembelajaran sepanjang hayat melalui kelas Massive Open Online Course (MOOC).

Memberi peluang kedua kepada bekas tahanan, bekas penagih dadah dan golongan wanita terlanjur melalui latihan TVET dan penubuhan Tabung Peluang Kedua. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com