Kelambu Cegah Jangkitan Malaria Berjaya Dicipta


LONDON - Sekumpulan ahli sains berjaya mencipta sejenis kelambu yang mampu menghalang serangan nyamuk pembawa penyakit malaria.

Evolusi nyamuk pembawa penyakit malaria membolehkan mereka kebal dari sebarang racun serangga dan ia dikesan semakin menular di benua Afrika, sekali gus mengancam jutaan nyawa.

Bagi mengatasi ancaman ini, sekumpulan ahli sains mencipta sejenis kelambu dilengkapi dengan bahan kimia dikenali sebagai 'piperonyl butoxide' dan ia dilihat mampu menghalang serangan serangga yang kalis racun serangga dari jenis 'pyrethoid'.

Kajian selama dua tahun membabitkan lebih daripada 15,000 kanak-kanak di Tanzania itu membuktikan bahawa kelambu berkenaan berjaya mengurangkan serangan penyakit malaria sebanyak 44 dan 33 peratus untuk dua tahun pertama berturut - turut berbanding penggunaan kelambu yang hanya dilengkapi dengan 'pyrethoid'.

Kejayaan penemuan itu disiarkan di dalam majalah The Lancet dan ia turut mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mencadangkan penggunaan alat terbabit secara lebih meluas.

Ketua kajian berkenaan, Dr Natacha Protopofoff dari Sekolah Perubatan Tropika dan Kebersihan London berkata, terdapat keperluan yang amat kritikal untuk mereka berada setapak lebih maju dari nyamuk kalis racun serangga ini bagi memastikan kejayaan memerangi malaria dapat diteruskan.

Penggunaan kelambu yang dilengkapi racun serangga berjaya mengurangkan kadar kematian akibat serangan malaria namun selepas beberapa lama ia tidak lagi menunjukkan kejayaan memberangsangkan.

Statistik terkini WHO menunjukkan sejumlah 216 penduduk dunia telah dijangkiti penyakit itu pada tahun 2016, iaitu peningkatan sebanyak lima juta berbanding tahun sebelumnya dan meragut 445,000 nyawa, jumlah yang hampir sama pada tahun 2015. - Reuters

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com