Kekal Konsisten Matlamat Nidzam


ALOR SETAR - Nidzam Adzha Yusoff mengingatkan pemainnya supaya terus fokus dan konsisten dalam misi memburu tiga mata pada aksi Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.

Pengendali Kedah itu menegaskan, semangat yang diperoleh berikutan kemenangan 4-0 ke atas Selangor sebelum ini menjadi bekalan serta motivasi utama skuad Lang Merah untuk dibawa ke Kuala Terengganu.

"Saya mahu pemain teruskan prestasi terbaik mereka selepas berjaya mendapat suntikan motivasi kemenangan sebelum ini dan prestasi konsisten ini perlu dalam usaha memburu kemenangan di tempat lawan," katanya.

Namun begitu Nidzam juga menjangkakan satu pertembungan sengit dan menganggap tuan rumah di bawah kendalian Irfan Bakti Abu Salim tetap memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.

"Melihat kepada Terengganu FC yang diwakili pemain hebat dan juga mendapat suntikan motivasi selepas menang 3-0 ke atas Melaka United 13 April lalu, pastinya kami menjangkakan ia bukan satu saingan mudah, namun kami tetap yakin selepas melakukan persiapan rapi.

"Kami perlukan tiga mata untuk terus membaiki kedudukan dalam carta Liga Super dan kami sedar ia memerlukan satu daya usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh daripada keseluruhan pasukan termasuk penyokong sendiri," katanya.

Menurut Nidzam, selain kekal konsisten, beliau juga mahu semua pemain meningkatkan keyakinan, fokus serta memperbaiki aspek kelemahan yang mampu melemahkan pasukan.

"Beberapa kekalahan yang dilalui sebelum ini seperti ketika bertemu Kuala Lumpur dan Pahang benar-benar memberi pengajaran mengenai kelemahan yang perlu diperbaiki dalam usaha mengukuhkan kedudukan kami dalam carta Liga Super."

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com