Kek Cawan Lambang Parti Jadi Rezeki Pemuda Dari Yan


YAN - Keberaniannya menyahut cabaran menghasilkan kek cawan dengan logo parti politik, membawa tuah kepada seorang pengusaha bakeri di sini, apabila ia mendapat sambutan menggalakkan sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengusaha bakeri dari Kuala Sungai Yan di sini, Azrul Nizam Azali, 26, berkata pada mulanya beliau keberatan menerima tempahan itu kerana bimbang tidak mampu memenuhi warna pada hiasan kek cawan seperti logo asal parti.

"Penggunaan warna dalam logo parti perlu tepat kerana ia amat sensitif. Pelanggan mungkin tidak berpuas hati dengan kek cawan yang dihasilkan.

"Saya mengambil masa mencari dan mengkaji warna logo yang sesuai sebelum membuat beberapa percubaan sebelum berjaya mendapatkan hasil warna seperti dikehendaki," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Azrul berkata, beliau nekad menyahut cabaran itu memandangkan PRU hanya berlangsung setiap lima tahun sekali.

Kejayaan Azrul memenuhi tempahan itu membawa pulangan yang memberangsangkan dalam kehangatan PRU-14 ketika ini selepas memuatnaik gambar kek cawan edisi khas itu.

Katanya, setakat ini beliau sudah menyiapkan tempahan 500 kek cawan berlogo pelbagai parti politik.

"Setakat ini ada yang sudah menempah untuk meraikan hari lahir dan sekadar untuk makan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) atau markas dan bilik gerakan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah Kuala Sungai Yan, di sini baru-baru ini.

Azrul Nizam berkata, dia menjual kek cawan yang menggunakan krim mentega putar itu mengikut kuantiti dalam kotak yang disediakan iaitu 25 biji yang dijual pada harga RM50.


Katanya, kebanyakan pelanggan yang membuat tempahan warna mengikut tema parti masing-masing dan jarang sekali mencampur warna lawan.

"Tempahan kek cawan PRU-14 ini membuatkan saya tak menang tangan, malah ada yang sudah membuat tempahan ketika hari mengundi 9 Mei nanti.

"Selain kek cawan, saya turut menghasilkan kek seberat satu kilogram yang dijual pada harga RM75 sebiji menggunakan logo tiga parti politik," katanya yang bakal mengundi buat kali pertama pada PRU ini.

Azrul Nizam berkata, pelanggan boleh membuat tempahan mengikut cita rasa dekorasi masing-masing dengan menyertakan contoh secara melayari akaun Facebooknya Azrul Nizam Azali.

"Saya buat kek PRU-14 ini hanya sekadar untuk perniagaan dan tidak terbabit secara langsung dengan mana-mana parti politik. Selain lambang parti, saya sedia pertimbangkan jika ada yang mahu menempah kek dengan hiasan gambar pemimpin politik pilihan mereka.

"Namun saya hanya menerima tempahan kek cawan edisi terhad ini sehingga hari pembuangan undi kerana selepas ini saya akan membuka tempahan hari raya pula," katanya.

Azrul Nizam sebelum ini pernah menghasilkan kek gergasi sempena Hari Kebangsaan serta 1,500 kek cawan Merdeka dan 24 biji kek bertemakan gambar pemain pasukan Kedah sewaktu layak ke Final Piala Malaysia tahun lalu.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com