Kehadiran Tapir Betina Sesat Kejutkan Penduduk Sik


ALOR SETAR – Penduduk di Perkampungan Beris Jaya, dekat Sik, digemparkan dengan penemuan seekor tapir betina yang dipercayai sesat dan dilihat berada di kawasan belakang rumah seorang penduduk, semalam.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Inche Ali@Muhammad Ali Che Aman mengesahkan pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan tapir tersebut daripada orang awam sebelum menghantar pegawainya.

“Tiga orang pegawai dari Jabatan Perhilitan Daerah Sik yang dihantar ke kawasan itu berjaya menembak haiwan itu dengan ubat pelali dan membawa ke pejabat perhilitan dan veterinar untuk pemeriksaan lanjut.

“Tapir betina yang tidak diketahui umurnya itu tidak mengalami kecederaan dan buat masa ini kita sedang menunggu unit pemuliharaan tapir dari Kuala Lumpur untuk datang melihat keadaan haiwan itu,” katanya memetik Bernama.

Menurutnya, tapir betina itu kemudiannya dilepaskan ke habitat asalnya di Hutan Ulu Muda dan Perhilitan negeri masih menjalankan kajian mengenai habitat tapir di Ulu Muda dan Yan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com