Kehadiran Orang Kedah Meriahkan Festival GegaRia Dihargai


ALOR SETAR - Festival GegaRia di perkarangan Aman Jaya Mall, Sungai Petani, semalam telah melabuhkan tirainya dengan memori manis apabila menarik lebih 50,000 pengunjung sepanjang acara berlangsung selama satu hari.

Sungai Petani adalah lokasi ketujuh penganjuran Festival GegaRia 2018 #KitaOK yang sebelum ini berjaya menggegarkan enam bandar yang membabitkan Shah Alam, Selangor, Johor Bahru, Johor, Kuantan, Pahang, Ipoh, Perak, Kuala Lumpur dan Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid, pihaknya menghargai kunjungan masyarakat di Kedah yang sama-sama memeriahkan Festival GegaRia walaupun ia diadakan pada hari bekerja.

Tambah beliau, ekoran kejayaan penganjurannya sebelum ini, pihaknya berhasrat untuk meneruskan Festival GegaRia dengan acara berikutnya akan diadakan sebelum hujung tahun ini.

"Di Kedah ini saya nampak pengujung tidak putus hadir meskipun Ahad adalah hari bekerja di sini dan saya bagi pihak Media Prima Berhad dan NSTP mengucapkan terima kasih atas sokongan hebat ini dari Shah Alam hinggalah ke Sungai Petani.

"Kita akan berehat buat sementara waktu dan kembali menemui orang ramai sebelum hujung tahun ini dengan rakan niaga dan agensi kerajaan di pinggiran bandar, " katanya memetik BH Online.

Abdul Jalil berkata, bagi penganjuran akan datang pihaknya berhasrat untuk mengekalkan konsep sama namun mungkin menukar sedikit format bagi tujuan penambahbaikkan.


Jelasnya, pihak penganjur akan turut melakukan perbincangan untuk mengenalpasti kekurangan yang boleh ditambah baik supaya penganjuran akan datang mampu dijayakan dengan lebih hebat.

Festival anjuran Media Prima Berhad ini bukan sahaja dilaksanakan bagi mewujudkan ruang dan peluang untuk berhubung, berkongsi dan memberi inspirasi kepada masyarakat, namun ia juga adalah platform bagi warga milenia negara untuk mengekspresikan diri.

Bukan itu sahaja, malah festival yang baharu diperkenalkan tahun ini juga berjaya melaksanakan misinya untuk menyatukan belia dan menzahirkan mesej bahawa mereka sentiasa dihargai dan diperlukan dalam usaha memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.


Festival GegaRia #KitaOK di sini terbahagi kepada lima zon utama iaitu Zon Makan-Makan yang menawarkan pelbagai 'food truck', Zon Throwback Tunnel pula ialah platform bagi pengunjung menimba inspirasi mengenai perkembangan negara.

Selain itu, Zon Gaya Hidup membawa pengunjung mendengar sesi perkongsian berkaitan pengurusan kewangan di tapak #YouCanDuit dan mengikuti topik panas membincangkan isu, tips fesyen serta keibubapaan bersama pasangan selebriti Scha Alyahya dan Awal Ashaari.

Turut diadakan ialah sesi perkongsian fesyen dan kecantikan oleh Elfira Loy, Kesihatan daripada Hanif Shawn dan Dr Say, 'Kata Serasi' oleh Diana Danielle dan Naz Rahman selain Noh Salleh akan mengacara satu sesi dalam Muzik dan Fesyen.

Bukan itu sahaja, Festival GegarRia #KitaOK juga mengambil inisiatif berkhidmat kembali kepada masyarakat dengan mewujudkan Zon Komuniti membabitkan pelbagai aktiviti disediakan selama lapan jam untuk pengunjung termasuk semakan daftar pemilih dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).


Tarikan terakhir festival ini iaitu Zon Hiburan yang beroperasi sepanjang hari bermula dengan aktiviti zumba di pentas utamanya, diikuti permainan elektronik dan fizikal serta demo memasak bersama Chef Iwan.

Sebelum melabuhkan tirainya semalam , acara penutup Festival GegaRia 2018 #KitaOK menyajikan konsert yang menampilkan selebriti terkemuka tanahair termasuk Stacy, Akim & The Majistret, Faizal Tahir, Kugiran Masdo, Bunkface dan Hujan. -Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com