“Kehadiran Mahathir Bawa Malapetaka Pada Rakyat Langkawi, Bukan Membina”


Tiada siapa menafikan segala jasa dan pengorbanan yang ditaburkan Tun Dr Mahathir Mohamad di Langkawi sejak lebih 22 tahun ini. Ya, semasa dia bergelar Perdana Menteri dahulu, kerap kali Dr Mahathir turun ke Langkawi untuk bertemu rakyat serta membawa masuk pelbagai pembangunan dan manfaat buat penduduk setempat.

Namun semua itu dilakukan kerana dia memiliki kuasa. Dari mana Dr Mahathir memperoleh kuasa? Tidak lain tidak bukan dari Umno dan Barisan Nasional (BN). Disebabkan Dr Mahathir diangkat menjadi Presiden Umno dan Pengerusi BN, maka dia mampu bergelar Perdana Menteri sehingga 22 tahun lamanya.

Keadaan ini ternyata berbeza pada hari ini bilamana Dr Mahathir tidak lagi mempunyai sebarang kuasa. Pada dirinya, hanya ada sejarah yang dikenang dan sedikit pengaruh atas usahanya menggunakan kuasa daripada Umno dan BN selama 22 tahun. Sebab itulah, Dr Mahathir tidak mampu memberi sebarang pembangunan kepada rakyat selepas dia pencen dari politik.

Jika semua pembangunan ini dilakukan oleh dirinya secara peribadi, maka tidak perlu tunggu untuk menjadi wakil rakyat untuk Dr Mahathir bangunkan Langkawi. Sekarang pun dia sudah boleh membangunkan rakyat pulau itu semahunya.

Ternyata Dr Mahathir tidak mampu melakukan apa-apa kerana dia sendiri sedar betapa tanpa kuasa di tangan maka nama yang tersohor pun sudah tidak berguna lagi. Justeru, nak tak nak Dr Mahathir terpaksa juga kembali ke pentas politik dan bekerja bagai orang muda untuk meraih kuasa di Parlimen Malaysia.

Pencabar Dr Mahathir di Langkawi ada jawapannya terhadap perkara ini. Ketika ditemui secara eksklusif oleh wakil portal Tv14, Datuk Ir Haji Nawawi Haji Ahmad menjelaskan segalanya.

Bagi Nawawi, Dr Mahathir sekarang merupakan orang biasa yang ada idea namun tiada sebarang kuasa. Situasi ini tidak akan mampu mengubah apa-apa kepada rakyat jelata yang menyokongnya.

“Tun (Mahathir) bukan lagi Perdana Menteri, dia hanya orang biasa yang mempunyai idea tapi tidak ada kuasa. Dia tidak boleh buat apa-apa. Jadi nostalgia dahulu itu adalah kebaikan yang telah Tun lakukan di atas sifatnya sebagai Perdana Menteri. Kita perlu berterima kasih.

“Tetapi untuk mengundi kita tidak boleh gadaikan undi kita untuk ucapan terima kasih. Kerana undi orang Langkawi adalah untuk masa depan pembangunan pelancongan di Langkawi,” katanya.

Ketua Umno Bahagian Langkawi itu juga turut membidas tindakan Dr Mahathir yang mahu bertanding di Langkawi dan berhasrat untuk membela nasib rakyat di sini.

“Kalau kita tersilap membuat undian dan ditakdirkan Langkawi ini bukan lagi di bawah Barisan Nasional, kemungkinan besar banyak diantara projek-projek yang di bawa oleh Kerajaan Pusat akan terhenti.

“Kemungkinan juga free duty (bebas cukai) ditarik balik (jika BN kalah di Langkawi),” katanya lagi.

Nawawi turut membidas Dr Mahathir sebagai ‘pembawa malapetaka’ untuk rakyat Langkawi sekiranya Pakatan Harapan menang dan tidak sealiran dengan kepimpinan Kerajaan Pusat yang diyakini masih berpihak kepada BN dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Boleh dikatakan kehadiran Tun ke Langkawi untuk memberi malapetaka kepada rakyat Langkawi, bukan untuk membina Langkawi,” tambahnya. 

Sumber: TV14

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com