Kedai Dobi Layan Diri Ini Sudah 3 Kali Meletup


GEMPAR… Sebuah kedai dobi layan diri dipercayai telah meletup sebanyak tiga kali di Taman Jinjang Baru, ibu negara malam semalam yang mengakibatkan seorang wanita cedera parah.

Kejadian kebakaran di kedai dobi dan rumah kedai kira-kira pukul 8.05 malam tersebut turut telah mengakibatkan hampir 80 peratus kerosakan pada kedua-dua premis perniagaan berkenaan.

Lapor Astro Awani, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPBM) Kuala Lumpur, Ruhisha Haris berkata, mangsa yang berusia 40 tahun telah mengalami cedera parah.

“Kita percaya daripada saksi berlaku letupan di kedai dobi sebanyak tiga kali.

“Kebetulan seorang mangsa wanita berusia 40-an berada di dalam kedai dobi dan telah cedera dengan 50 peratus melecur,” katanya.

Menurutnya lagi, mangsa yang merupakan pelanggan kedai dobi terbabit dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.


Tiga lagi mangsa yang merupana warga Indonesia dan tinggal di rumah berkenaan bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dengan terjun dari tingkap premis.

Sebanyak tiga buah jentera dan sebuah EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat Jinjang, Sentul, Hang Tuah dan Sri Hartamas diperlukan bagi berhadapan dengan kebakaran.

Pihak bomba telah berjaya mengawal api sekitar pukul 8.22 malam. Sehingga kini punca kebakaran dan anggaran kerugian belum dapat dikenal pasti dan masih dalam siasatan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com