Kedah Beri Imbuhan Kepada Pemenang Pingat Emas Gold Coast


ALOR SETAR- Kerajaan negeri Kedah bakal beri imbuhan sebanyak RM10,000 kepada pemenang pingat emas bagi acara angkat berat kategori 65 kilogram Sukan Komanwel 2018 acara angkat berat iaitu Muhammad Aznil Bidin.

Imbuhan itu diumumkan Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah (MSN Kedah) Mohd Rizal Mohd Radzi pada majlis sambutan wira negara itu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Alor Setar malam tadi.

Jelas Rizal, imbuhan itu bagi menghargai pencapaiani Aznil yang memperoleh pingat emas dalam kategori 62kg di temasya yang berlangsung di Gold Coast, Australia.

"Pihak MSN Kedah, kerajaan negeri dan rakyat Kedah berasa cukup bangga di atas kejayaan Aznil yang muncul sebagai atlet pertama kelahiran Kedah merangkul pingat emas pertama temasya Sukan Komanwel," kata Rizal memetik BH Online.

"Kita juga akan menganjurkan satu majlis khas bulan depan bagi meraikan semua atlet dari negeri Kedah yang telah mewakili negara ke Sukan Komanwel 2018.

"Saya amat berharap Aznil akan menjadi ikon atau idola kepada atlet dan warga Kedah untuk mewujudkan ramai lagi 'badang' dari negeri ini.

"Selain Aznil, kesemua lapan atlet dari Kedah dalam acara skuash, ping pong, hoki akan diraikan pada majlis penghargaan itu nanti," ujar.

Turut menyambut kepulangan Muhammad Aznil ialah ibunya, Haslina Hamzah, 46, dan bapanya, Bidin Yaacob, 50, sambil menyarungkan kalungan bunga sebagai tanda rasa bangga di atas kejayaan anak kedua dari empat beradik itu.

Sementara itu, Muhammad Aznil berkata, masa rehat selama dua minggu yang diberikan pihak pengurusan akan digunakan sebaik mungkin bersama keluarga sebelum turun menjalani latihan semula bagi beberapa siri kejohanan selepas ini.

Aznil turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak khususnya pihak MSN Kedah, Kerajaan Negeri Kedah, Persatuan Angkat Berat Negeri Kedah serta keluarga dan atlet negeri itu yang banyak menyokongnya selama ini.

"Saya berterima kasih di atas insentif yang diumumkan ini dan saya bersyukur dapat bawa balik pingat emas untuk negara kerana inilah impian saya dan keluarga selama ini.

"Sasaran saya selepas ini adalah untuk meraih kejayaan pada temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia dan Kejohanan Dunia 2018," katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com