Kebetulan Lancar Single 'Malaysia' Waktu Musim Pilihan Raya


KUALA LUMPUR - Bagi komposer dan penyanyi, Faizal Tahir, tiada apa yang lebih membanggakan selain dapat mencipta lagu khas berjudul Malaysia sebagai sumbangannya terhadap tanah air tercinta.

Faizal, 40, memberitahu, single yang dilancarkan kira-kira tiga minggu itu, bukan sengaja diedar ketika rakyat Malaysia membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sebaliknya kebetulan.

"Bukanlah kami rancang untuk tampil dengan single Malaysia sempena PRU-14, sebaliknya apa yang berlaku adalah kebetulan.

"Secara tidak langsung, lagu ini dapat menjadi pembakar semangat untuk rakyat Malaysia bersatu biarpun berbeza pendapat dan sebagainya.

"Sebagai komposer dan penyanyi, ini adalah salah satu sumbangan saya kepada negara.

"Saya dapat idea untuk menghasilkan lagu cintakan negara yang boleh dimainkan pada bila-bila masa, bukan sepanjang Bulan Kemerdekaan," katanya kepada BH Online.

Faizal berkata, cinta bukan saja boleh dizahirkan kepada insan lain, malah dalam pelbagai aspek kehidupan.

"Sehubungan itu, saya memilih sesuatu yang berbeza sesuai dengan usia dan status sebagai bapa kepada enam anak," katanya mengulas mengenai lagu yang dicipta bersama Mike Chan dan Ezra Kong itu.

Dalam perkembangan lain, Faizal memberitahu, artis naungannya iaitu kumpulan Nastia, bakal tampil dengan single terbaharu, tidak lama lagi.

"Saya teruja melancarkan lagu terbaharu Nastia kerana mereka membawa sesuatu yang berbeza. Kalau diikutkan, belum ada band tempatan yang bawa lagu cara mereka... Jadi kita cuba benda baharu," katanya.

Selain Nastia, syarikat rakaman milik Faizal yang diberi nama Faithful Music, turut mempromosikan artis kelahiran Brunei, Aziz Harun.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com