“Kau Yang Makan Jalan, Lepas Tu Kau Fitnah Kami’


TULAR di media sosial rakaman dashcam sebuah kereta pacuan empat roda ‘menghentam’ kereta yang dinaiki sebuah keluarga sehingga mengakibatkan kecederaan parah buat dua warga emas.

Manakala seorang lelaki dan anaknya yang juga berada di dalam kereta yang sama turut mengalamai kecederaan dalam kemalangan yang berlaku pada petang Khamis itu di Changkat Jering, Taiping.

Dakwa mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Redzwan, pemandu Toyota Hilux terbabit secara tiba-tiba memasuki lorong bertentangan lalu melanggar kereta Toyota Vios yang dipandunya bersama isteri, anak dan ibu bapanya.

Kejadian itu menyebabkan ibunya patah tulang rusuk kiri dan kanan, manakala bapanya pula patah rahang, kaki dan kecederaan teruk sehingga berjahit di kepala.


Sementara itu Mohamad Redzwan juga cedera dan anak kecilnya cedera di bahagian lidah akibat tergigit serta isterinya mengalami lebam-lebam di beberapa anggota badan.

Pemandu Hilux yang memandu bersama isteri dan anaknya pula dipercayai tidak mengalami kecederaan serius.

Kemalangan itu menyebabkan kereta Hilux terbabit terbalik dan kereta mangsa pula remuk teruk di bahagian kanan.


Biarpun rakaman jelas menunjukkan kereta Hilux itu memasuki laluan mangsa sebelum dirempuh, pemandu Hilux terbabit dikatakan membuat laporan palsu kononnya kemalangan berpunca akibat daripada kecuaian mangsa.

“Dia buat laporan kata saya masuk laluan dia. Dia langsung tak berjumpa dengan saya dan keluar, malah minta maaf pun tiada,” kata Mohamad Redzwan yang juga menegaskan mahu mengambil tindakan undang-undang berhubung kejadian itu.

Lebih mengeruhkan lagi keadaan, Mohamad Redzwan mendakwa anak pemandu Hilux itu juga memarahinya kerana percaya kejadian itu berpunda darinya.



Menceritakan semula saat kejadian itu, Mohammad Redzwan menyedari kereta Hilux itu tersasar dari laluan lalu dia membunyikan hon untuk memberi amaran.

Namun pemandu terbabit masih tidak perasan dan Mohamad Redzwan cuba mengelak ke bahu jalan namun tetap dilanggar kereta itu.



“Saya nampak dia dah keluar dari laluan dia. Saya hon, dia makin masuk. Saya dah ke tepi sehabisnya tetapi tak dapat juga nak mengelak. Mungkin orang itu tertidur,” katanya.

Difahamkan, mangsa kini masih menunggu hasil siasatan polis sebelum membawa hal itu ke mahkamah untuk tindakan lanjut. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com