Kanak-Kanak 6 Tahun Dari Perlis Maut Disyaki Didera


KANGAR - Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun maut, kelmarin, disyaki akibat penderaan teman lelaki ibunya sehingga patah tulang rusuk dan pecah usus.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan itu terbongkar selepas pakar patologi di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, menjalankan bedah siasat ke atas mayat mangsa, Mohamad Rayyan Hidayat Hairil Khan, semalam.

Ketua Polis Perlis, Datuk Azisman Alias, berkata laporan bedah siasat menunjukkan mangsa maut selepas dipercayai dipukul dengan objek tumpul pada bahagian badan.

"Mangsa mengalami kecederaan dalaman yang serius, selain usus pecah," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, semalam.

Katanya, mangsa meninggal dunia pada jam 4 pagi Rabu lalu di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini, selepas tidak sedarkan diri dan muntah beberapa jam sebelum itu.


Susulan itu, beliau berkata, polis menahan ibu mangsa berusia 31 tahun dan teman lelakinya berumur 26 tahun, petang semalam, selepas mereka menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.

"Berdasarkan siasatan awal, suspek lelaki mempunyai 12 rekod lampau atas pelbagai kesalahan yang kebanyakannya membabitkan curi motosikal," katanya.

Azisman berkata, pasangan itu ditahan reman selama seminggu bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bapa mangsa, Hairil Khan Azali, 32, berkata beliau dimaklumkan kejadian berkenaan oleh anak saudaranya pada Rabu lalu.

"Rayyan dibawa ke hospital pada malam Selasa dan meninggal dunia beberapa jam kemudian.

"Saya hanya mengetahui Rayyan disyaki didera selepas laporan forensik dikeluarkan Hospital Sultanah Bahiyah pada jam 8 malam tadi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hairil Khan berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan mangsa sekitar bulan lalu dan ketika itu, keadaannya masih sihat.

"Saya berpisah dengan bekas isteri sejak tiga tahun lalu. Saya kerap berjumpa dengan Rayyan sebelum ini kerana dia tinggal dengan bekas mentua di Kampung Abi Tok Hashim, di sini.

"Namun sebulan lalu, saya tidak dapat berjumpa dengan Rayyan selepas bekas isteri membawa dia keluar dan tinggal dengan kekasih.

"Bagaimanapun, saya tidak tahu mereka tinggal di mana kerana bekas mentua pun tidak dimaklumkan," katanya.

Beliau berkata, jenazah anaknya selamat dikebumikan tengah malam tadi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Abi Tok Hashim.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com