Kanada Digesa Terima Pelarian Rohingya


OTTAWA - Kanada perlu mengambil pelarian Rohingya dan menggesa negara lain berbuat demikian, kata wakil khas Perdana Menteri, Justin Trudeau ke Myanmar, kelmarin.

Wakil khas berkenaan, Bob Rae, dalam misi pencarian bukti ke Bangladesh dan Myanmar, turut menggesa Ottawa meningkatkan bantuan kemanusiaan kepada etnik Rohingya, menyasar pihak yang melanggar hak asasi manusia dengan sekatan dan mengumpul serta melindungi bukti untuk perbicaraan mungkin akan datang.

"Kanada seharusnya memberi isyarat kesediaan mengalu-alukan pelarian daripada etnik Rohingya di kedua-dua Bangladesh dan Myanmar serta menggalakkan perbincangan di kalangan negara berfikiran sama untuk melakukan tindakan serupa," kata Rae pada satu sidang media.


Ketika ini, beliau menganggarkan bantuan tahunan berjumlah C$150 juta (RM454.02 juta) diperlukan dalam tempoh empat tahun akan datang untuk menyediakan bantuan, pendidikan dan menyokong infrastruktur di lebih 12 kem pelarian di Bangladesh berhampiran sempadan Myanmar.

Trudeau mengalu-alukan laporan itu, mengatakan pentadbirannya dalam tempoh beberapa minggu akan datang bersedia menilai cadangan dan menggariskan langkah lanjut yang bakal diambil.

Tentera Myanmar memaksa kira-kira 700,000 Muslim Rohingya keluar dari Rakhine dan menyeberangi sempadan ke Bangladesh sejak Ogos lalu dalam tindakan keras bersamaan pembersihan etnik. - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com