Kalau Laporan Mesyuarat PPBM Betul Kenapa Muhyiddin Ancam Nak Pecat Ahli


Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mempertikaikan tindakan Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang cuba menyekat ahlinya daripada bersuara dan menyatakan kepincangan yang berlaku dalam parti yang diasaskan oleh Tun Dr. Mahathir itu.

Kamarul Azman Habibur Rahman menyifatkan tindakan mahu memecat ahli-ahli PPBM yang mempersoalkan kesahihan dokumen yang dihantar kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) sebagai tidak selari dengan perjuangan yang dibawa parti itu.

"Apabila Muhyiddin dipecat dari UMNO dahulu, kemudian beliau kononnya mahu memperjuangkan keterbukaan dan hak besuara sekiranya beliau berjaya menubuhkan kerajaan bersama PH.

"Tetapi apa yang berlaku sekarang ialah di mana ahli PPBM sendiri belum apa-apa lagi tidak boleh mempertikaikan apa yang pucuk kepimpinan lakukan.

"Ini jelas menunjukkan apa yang diperkatakan tidak benar dan inilah bahaya yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin seperti Muhyiddin sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan," katanya kepada Antarapos.

Semalam Muhyiddin mahu memecat ahlinya ekoran mempertikaikan kesahihan dokumen yang diserahkan parti itu kepada RoS.

Muhyiddin juga menyelar mereka sebagai 'bodoh' kerana tidak melihat dan memahami dokumen berkenaan tetapi mahu mempertikaikannya.

Malah kata Kamarul lagi, PPBM mahupun pemimpin mereka tidak perlu khuatir dengan tindakan ahli bawahan mereka sekiranya dipihak yang benar.

"Kenapa tidak boleh bersuara?

"Kalau laporan yang diserahkan kepada RoS benar dan betul, maka tidak perlu dirisaukan ada dalam kalangan ahli yang mempertikaikannya.

"Tetapi nampak macam ada sesuatu yang disembunyikan apabila ahli diberitahu jangan berani mempersoalkan, pasti ada sesuatu disembunyikan," ujarnya.

Sumber - Antarapos


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com