Kaji Semula Rekabentuk, Lokasi Tempat Berteduh


KUALA LUMPUR - Pihak berkuasa dan pengendali lebuh raya perlu mengkaji semula rekabentuk serta lokasi kemudahan berteduh untuk penunggang dan pembonceng motosikal bagi menjamin keselamatan mereka.

Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, perhentian motosikal itu seharusnya berada dalam keadaan terang dan tidak terlindung daripada pandangan pengguna jalan lain.

"Tempat berteduh itu seharusnya tidak berada di selekoh untuk mengelakkan penunggang atau motosikal mereka dirempuh kenderaan terbabas.

"Pada masa sama, tempat berteduh terbabit perlu mempunyai ruang mencukupi serta dilengkapi penghadang untuk melindungi penunggang, pembonceng dan motosikal mereka," katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai kes terbaru sekumpulan penunggang dan pembonceng motosikal nyaris maut apabila motosikal mereka dirempuh dua kenderaan ketika sedang berteduh daripada hujan di bawah jambatan di KM258 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran susur keluar Port Dickson kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, 12 buah motosikal mengalami kerosakan teruk selepas terperosok di bawah sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah Perodua Axia.

Lee berkata, penunggang dan pembonceng motosikal perlu memastikan diri mereka boleh dilihat jelas oleh pengguna jalan yang lain terutamanya ketika hujan.

"Sebagai contoh, mereka boleh memakai baju hujan berwarna terang atau yang mempunyai 'reflector' untuk meningkatkan kebolehlihatan.

"Selain itu, pastikan kawasan berteduh adalah kawasan sesuai dan memang dikhaskan untuk motosikal," katanya.

Beliau berkata, menurut Kaedah 53 dalam Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959, tiada sebarang kenderaan boleh diletakkan atau menggunakan lorong tambahan atau bahu jalan kecuali kenderaan polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), ambulans, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kastam dan Jabatan Penjara.

"Penunggang motosikal dan pembonceng dinasihatkan tidak berteduh atau berhenti seketika untuk memakai baju hujan di bawah jejambat atau di tepi jalan kerana boleh mengundang risiko dilanggar kenderaan lain.

"Mereka sepatutnya berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah atau tempat berteduh khas kerana boleh melindungi mereka serta pembonceng dirempuh kenderaan lain ketika hujan apabila jarak pandangan menjadi terhad manakala permukaan jalan licin," katanya.

Lee berkata, sebelum ini Kementerian Kerja Raya mengarahkan semua pemegang konsesi lebuh raya menyediakan hentian berteduh khas untuk penunggang dan pembonceng motosikal bagi menjamin keselamatan mereka.

Menurutnya, MIROS dan Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) sudah beberapa kali membangkitkan isu itu apabila mendapati kebanyakan lebuh raya serta jalan raya tidak mesra pengguna motosikal, sekali gus meletakkan golongan terbabit dalam keadaan berisiko.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com