Kad Bantuan Teksi 1Malaysia Diaktifkan Selepas Diambil Pemandu


KUALA LUMPUR - Kad Bantuan Teksi 1Malaysia akan diaktifkan hanya selepas diambil pemandu teksi untuk pembelian petrol dan NGV sehingga RM800 di stesen-stesen Petronas di seluruh negara, kata Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Menurut SPAD ribuan pemandu teksi telah mengambil kad masing-masing selepas ia dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 13 April lepas.

"Malah, semua kad itu diaktifkan sebaik sahaja diambil oleh pemandu teksi," kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan pada Rabu bagi menjawab dakwaan kononnya para pemandu teksi berang kerana kad bantuan itu dikatakan akan diberikan selepas pilihan raya umum nanti.

Sehubungan itu, SPAD memberi amaran ia akan membuat laporan polis jika berita tidak benar itu terus disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

SPAD juga meminta para pemandu teksi supaya tidak bimbang kerana pihaknya telah menyediakan 67,000 kad bantuan berikutan sambutan menggalakkan terhadap inisiatif itu.

Pemandu teksi diberi tempoh tiga bulan bermula 16 April sehingga 16 Julai depan bagi mengambil kad bantuan itu dari pejabat-pejabat cawangan SPAD.

"Segala urusan pengambilan adalah tertakluk kepada waktu pejabat dan hari kelepasan am setempat.

"Tarikh dan tempat pengambilan untuk para pemandu di Sabah dan Sarawak akan diumumkan dalam masa terdekat oleh pejabat Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP)," kata suruhanjaya itu.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com