Jurutera Mohon Maaf Ubah Suai Poster BN Edar Coli Percuma


AKUI SILAP… Tindakan seorang jurutera mengubah suai poster Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh sehingga tular dalam kalangan netizen akhirnya terbukti memang tindakan disengajakan.

Justeru, Ismail Harun yang bertanggungjawab mereka semula poster Pengerusi BN Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said itu konon mengedar 5,000 unit coli secara percuma, semalam tampil memohon maaf kepada beliau.

Pekerja swasta berusia 29 tahun itu berkata, pada mulanya dia hanya cuba mengubah suai poster tersebut sekadar untuk tujuan bergurau semata-semata sebelum dikongsikan pula di dalam laman WhatsApp di tempat kerjanya.

“Saya tidak menyangka ia menjadi viral (tular) di media sosial dan rasa bersalah sebaik ia turut mendapat perhatian Zaidi sendiri,” jelas Ismail sebaik menyedari Ketua UMNO Bahagian itu kemudian membuat laporan polis kelmarin.

“Sejurus sahaja mendapat tahu perkara itu mula menimbulkan pelbagai masalah dan memburukkan imej BN di kawasan Parlimen Permatang Pauh, saya mengambil keputusan menghubungi Zaidi bagi meminta maaf,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, Ismail berkata, wajah individu yang terdapat di dalam poster diubah suai itu adalah rakannya sendiri dikenali sebagai Amran Nordin dan dia juga berdepan dengan kecaman susulan penularan poster tersebut.

Ismail seterusnya menjelaskan bahawa, dia berasa agak kesal namun berterima kasih kepada Mohd. Zaidi yang memaafkannya malah mengingatkan dirinya serta individu lain supaya tidak mengulangi perkara sedemikian lagi.


Sementara itu, Mohd. Zaidi pada sidang media di pejabat UMNO Bahagian Permatang Pauh berkata, beliau memaafkan kesalahan itu kali ini, namun akan mengambil tindakan jika perkara sama berulang lagi selepas ini.

Katanya, dia percaya dengan keikhlasan Ismail meminta maaf dan pimpinan BN Permatang Pauh juga bersedia memaafkannya meskipun mungkin dianggap cuba merosakkan imej program amal bahagian UMNO tersebut.

“Perkara sebegini sepatutnya tidak dijadikan bahan gurauan, tambahan ia membabitkan maruah individu dan imej parti politik,” kata Mohd. Zaidi sebelum bersalaman dengan Ismail dan Amran.

Dua hari lalu, poster program pemberian 5,000 unit cermin mata percuma yang dianjurkan BN Permatang Pauh diubah suai kepada pemberian pakaian dalam wanita percuma dengan wajah Zaidi diganti kepada individu lain.

Poster itu tular sehingga menimbulkan keadaan tidak selesa orang ramai sebelum segera dinafikan pihak UMNO Bahagian setelah dihubungi penduduk bagi mendapatkan kesahihan acara tersebut. – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com