'Jurutera Kampung' Dari Kodiang Reka Jentera Pertanian


ALOR SETAR - Seorang lelaki digelar 'jurutera kampung' sejak 20 tahun lalu kerana boleh menghasilkan rekaan jentera pertanian untuk petani di kampungnya dengan menggunakan kreativiti tersendiri.

Lelaki tersebut, Che Len Mustafa, 56 dari Kampung PIDA 11 Lama, Kodiang hanya berpendidikan sehingga Tahun Enam sahaja namun beliau sering muncul dengan idea-idea bernas.

Walaupun penampilannya agak kusut dan comot, namun ramai tidak menyangka bahawa dia seorang yang 'genius' di kampungnya terutama dalam penghasilan rekaan berkaitan jentera pertanian antaranya jentera meracun padi atau rumput, jentera penabur benih padi dan mesin janakuasa elektrik.

Bukan itu sahaja, Che Len juga mengambil upah dengan membaiki enjin jentera penabur benih padi milik penduduk di kampung di sini.

"Saya tiada pekerjaan tetap, hanya melakukan kerja kampung seperti membina rumah, membaiki jentera dan satu ketika terfikir lebih baik untuk menggunakan kemahiran saya menerusi kerja membaiki enjin, jentera dan kenderaan dengan cuba mereka jentera sendiri.

"Daripada situlah, saya mencari idea dalam usaha untuk memudahkan orang kampung melakukan tugas harian mereka ketika bertani," katanya memetik sumber NSTP.


Jelas Che Len, setiap komponen yang diperlukan untuk jentera ciptaannya seperti kipas, lampu, skru serta besi akan diperoleh dengan mencarinya di kedai barangan lusuh.

"Buat masa ini, saya sedang menyiapkan jentera meracun padi sejak setahun lalu. Jentera ini berukuran 2.5 meter panjang dan mempunyai ketinggian sebanyak 2 meter.

"Untuk jentera ini, saya menggunakan enjin jenis Kubota yang menggunakan diesel dan terdapat tong plastik yang sering digunakan untuk mengisi ikan atau cecair minyak yang diubahsuai sebagai tong mengisi racun padi.

"Saya melakukan kimpalan terhadap besi pada roda jentera bagi memastikan ia boleh bergerak dengan baik," katanya menurut sumber.

Che Len berkata, penghasilan sesuatu jentera yang direkanya itu ada kalanya mengambil masa lama disebabkan kekangan kewangan atau kesukaran mencari komponen barang yang hendak digunakan.

"Tempoh siap sesuatu rekaan bergantung kepada modal dan barang yang hendak digunakan kerana itu saya melakukannya secara berperingkat.

"Namun, apabila jentera ini dapat berfungsi ia dapat menjimat masa dan tenaga petani dalam mengerjakan sawah mereka," ujarnya.

Selain itu, Che Len memperuntukkan masa antara 8 pagi hingga 11 pagi untuk menyiapkan ciptaannya itu sebelum disambung pada waktu petang.

Katanya, meskipun pelbagai inovasi pertanian sudah berjaya dihasilkan, namun masih dipandang sepi oleh pihak berwajib untuk memberi bantuan kepadanya dari segi bentuk tajaan atau sumbangan bagi peralatan bengkelnya.

"Beberapa tahun lalu, saya menerima kunjungan pihak Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) serta beberapa agensi lain yang melihat sendiri hasil ciptaan saya untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi namun sehingga kini tiada sebarang jawapan.

"Saya harap inilah masanya menaikkan pereka cipta tempatan ke peringkat lebih tinggi, terutama dalam inovasi pertanian seperti ini kerana ini dapat membantu masa depan petani juga," katanya.

Che Len yang juga seorang duda mempunyai anak lelaki berusia 13 tahun bernama Qoul, manakala isterinya, Aishah Ramli, 37 meninggal dunia pada 2013 akibat darah tinggi. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com