Jumpa Janin Hanyut Dalam Logi Kumbahan


JANIN lelaki yang ditemui dalam loji kumbahan Mentari Court, Bandar Sunway, Petaling Jaya, pagi semalam, dipercayai dibuang di tempat lain sebelum dihanyutkan ke lokasi ditemui.

Seorang pekerja loji kumbahan itu berkata, beliau ternampak objek seperti bayi ketika membersihkan timbunan sampah yang terperangkap di situ.

“Janin itu cukup sifat dengan keadaan masih bertali pusat. Saya terkejut dan terus maklumkan kepada rakan serta pegawai bertugas.

“Janin ini mungkin dibuang di kawasan lain dan dihanyutkan ke sini kerana kawasan ini berkunci, orang awam tidak dibenarkan masuk,” katanya.

NSTP semalam melaporkan, janin lelaki yang cukup sifat ditemui kakitangan loji kumbahan 10.44 pagi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din, berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan janin berkenaan dibuang di tempat lain.

“Kami percaya janin itu berusia tujuh bulan dalam kandungan.

“Pihak kami masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini, termasuk melihat beberapa elemen lain bertujuan mengesan lokasi janin dibuang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com