Jual 80,000 Durian Seminit, Jack Ma Dapat Bantal Emas


BANGKOK – Bilionaire terkenal China, Jack Ma membuktikan kehebatan berjaya jual lebih 80,000 biji durian Thai dalam masa cuma seminit pada Rabu menerusi laman e-dagang terkininya T-Mall.

Kejayaan luar dugaan dicatat pengasas laman e-dagang ternama dunia, Alibaba.com itu menyebabkan Kerajaan Thailand kelmarin menghadiahkan beliau dengan durian terkenal negara itu yang dirujuk sebagai bantal emas!

T-Mall sendiri merupakan laman jual beli atas talian ketiga terbesar di dunia. Urus niaga itu direkodkan sehari sebelum pelancaran rasmi menjelang Ma menandatangani memorandum persefahaman dengan kerajaan Thailand.

Ia adalah kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan serta sokongan untuk e-dagang dan pelancongan. Ma ketika sidang akhbar di sini pada Khamis memaklumkan, sebelum dilancarkan hanya ada 60,000 tempahan awal.

Namun sebaik sahaja laman itu dibuka, kira-kira 40,000 biji durian dijual dan angkanya meningkat kepada 80,000 biji dalam tempoh 60 saat termasuk jenis bantal emas yang amat laris sehingga langsung habis semua bekalan.


Pencapaian itu menyaksikan Menteri Perdagangan Thailand, Sontirat Sontijirawong pada pelancaran secara rasmi perjanjian mega tersebut kemudian membuat kejutan dengan menghadiahkan durian bantal emas kepada Ma.

Media melaporkan Ma melabur AS$330 juta (RM1.28 bilion) dalam perjanjian itu. Alibaba.com sebelum ini ada perjanjian AS$428 juta (RM1.67 bilion) dengan kerajaan Thailand untuk jual durian negara itu secara e-dagang.

“China ketika ini dalam landasan untuk menjadi pengguna terbesar di pasaran dunia dengan dipacu pertumbuhan pesat pendapatan kalangan golongan kelas menengah yang kini bertambah kepada 300 juta orang,” jelas Ma.

Beliau pernah beberapa kali berkunjung ke Thailand untuk pelbagai urusan rasmi perniagaan dan pada 2016 lalu, Ma bertemu sendiri Perdana Menterinya, Prayut Chan-o-cha ketika sidang kemuncak G20 di Hangzhou, China.

Pemimpin kerajaan Thailand itu dilaporkan secara peribadi memohon Ma untuk bantu dalam promosi produk tani negara tersebut dengan memanfaatkan segala kemudahan platform teknologi digital. 

Sumber – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com