‘Jika Saya Tuhan Saya Akan Lakukan Begini’ Bahaya Pada Akidah – Dr Mohd Asri


KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, hari ini, menasihati umat Islam supaya berhati-hati dalam ungkapan berkaitan isu ketuhanan kerana ia merbahaya kepada akidah jika ucapan itu dibuat dalam keadaan sedar.

Walaupun tidak menamakan mana-mana pihak, kenyataan menerusi Facebooknya itu dipercayai merujuk kepada ucapan Ahli Parlimen Sepang dari Parti Amanah Negara (PAN), Hanipa Maidin di Dewan Rakyat, semalam.

Tegas Mohd Asri yang turut dikenali sebagai Dr Maza, ungkapan; `jika saya Tuhan, saya akan lakukan begini…’, secara langsung dan tidak langsung merendahkan penciptaan Tuhan dan menafikan hikmah ciptaan-Nya.

“Seakan apa yang Tuhan lakukan tidak tepat ataupun salah ataupun di sana ada cara yang lebih baik. Ini sangat bahaya kepada akidah yang mengungkapnya jika dia sedar apa yang diucapkan. Hendaklah dia bertaubat dari ucapan itu,” katanya.

Semalam, Dewan Rakyat menjadi panas ekoran pertikaman lidah antara Hanipa dan Datuk Seri Abdul Azeez Rahim (BN-Baling) bersama Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus).

Ungkapan, `kalau saya Tuhan’, itu timbul selepas Abdul Azeez menegur Hanipa dengan mendakwa bekas pemimpin PAS itu berlagak seperti tuhan kerana boleh menjangkakan pakatan harapan akan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Hanipa yang juga seorang peguam berkata: “Kalau saya Tuhan, dari awal saya tak jadikan kamu, menyusahkan orang saja. Sudah lama saya hapuskan kamu (Abdul Azeez).

“Sebab saya tak Tuhan, Tuhan jadikan juga orang macam kamu,” katanya lantang sambil menepuk dada kiri dan menuding ke arah Abdul Azeez.

Mohd Asri berkata, tidak boleh seseorang Muslim berkata, `jika saya Tuhan…”, melainkan diikuti dengan ungkapan yang menunjukkan keagungan Tuhan seperti, `jika awak Tuhan, tak mungkin awak berjalan macam manusia’.

“Tuhan mempunyai hikmat atas segala penciptaan-Nya. Dia juga akan mengadili segala kejadian dan peristiwa di dunia.

“Kerosakan dunia ini disebabkan tangan manusia bukan kerana kesilapan ciptaan Tuhan. Kita beriman segala yang Tuhan ciptakan ada rahsia zahir dan batin dan Dia Allah Maha Mengetahui segala yang zahir dan yang batin,” katanya.

Sumber – BH

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com