Jika Mahathir Bencikan Najib Sekalipun, Buatlah Cara Islam...


Tidak dinafikan, Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak bukanlah manusia maksum. Beliau sama seperti umat Muhammad SAW lain, termasuk Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, yang turut memiliki kelebihan dan kelemahan tersendiri.

Mohd Najib ditakdirkan Allah kini mengemudi Barisan Nasional (BN) setelah Tun Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan pada 2009. Sebagai Pengerusi dan tokoh politik beliau, sudah tentu beliau memiliki ramai penyokong dan musuh politik daripada pembangkang.

Namun begitu, sekiranya Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad terlalu kemaruk hendak jatuhkan Mohd Najib dan mengambil alih sekali lagi jawatan Perdana Menteri pun, biarlah ia dilakukan dengan cara Islam.

Bak kata mantan Menteri Besar Kedah, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, jika hendak berbuat apa pun sekali, biarlah ia dilakukan dengan cara Islam dan diredhai Allah SWT. 


Tindakan Mahathir baru-baru ini yang tiba-tiba berkata "Najib tidak sembah Tuhan, dia sembah cash" sama sekali tidak wajar dihamburkan daripada bibir seorang negarawan beragama Islam.

Tuduhan tersebut seolah-olah menghukum Mohd Najib sebagai seorang yang kafir dan syirik kepada Allah SWT. Kaedah menjatuhkan lawan seperti itu sama sekali dilarang oleh agama Islam dan Rasulullah SAW sendiri pun menegah umatnya supaya tidak mudah menghukum saudara seagamanya dengan tuduhan begitu.

Mahathir sendiri dahulu begitu marahkan Abdul Hadi gara-gara amanatnya yang dikatakan "mengkafirkan" Mahathir dan UMNO yang beliau ketuai. Khabarnya dendam itu masih tidak terpadam hingga kini sehingga menyebabkan beliau enggan bersama PAS dan lebih memilih DAP sebagai sahabat sekutunya.

Sekiranya terlalu mengejar kuasa di penghujung usia, adalah diharapkan agar tokoh negarawan itu lebih mengutamakan akhlak mahmudah dan cara yang bijaksana sebagaimana yang dianjurkan Islam.

Bukannya dengan menggunakan kaedah Machiavelli yang menganjurkan "matlamat menghalalkan cara" di mana si pelakunya boleh berbuat atau menyebut apa saja untuk memenuhi matlamat. Ia sama sekali menyalahi prinsip agama Islam.

Melihat kepada pendirian PAS yang terkini, parti itu begitu berhati-hati dalam bermain isu politik. Perubahan itu walaupun dikritik oleh bekas pemimpin PAS yang kini bersama Parti Amanah Negara (PAN), namun ia dilihat sejajar dengan hukum hakam yang dianjurkan oleh Syari'ah Islam.

Meskipun PAS ditohmah sebagai menyokong UMNO "dalam diam", ramai yang melihat tuduhan itu hanyalah permainan propaganda politik pihak tertentu dan kegagalan mereka untuk memahami konsep Islam yang sebenar.

Justeru itu, tidak hairan jika ramai rakyat di negara ini semakin bosan dengan sikap beberapa pemimpin parti politik terutama di dalam Pakatan Harapan yang dilihat keterlaluan dalam tindakan mereka untuk mengejar kuasa dan jawatan.

Gara-gara itu, ramai yang menghukum politik di negara ini kotor. Walhal, politik sebenarnya sebahagian kecil daripada Islam yang bersih sifatnya, namun "dikotorkan" oleh segelintir pemimpin yang terlalu taksub dan "bertuhankan" politik sehingga sanggup mengenepikan Islam.

Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bakal menjelang tidak lama lagi. Rakyat di negara ini sememangnya bebas memilih. Bijak atau tidak mereka memilih, ia terserah kepada penilaian daripada sudut perspektif masing-masing.

Pun begitu, perlu juga diingatkan bahawa tidak semua pengundi di negara ini bijak-bijak belaka kerana terdapat juga segelintir yang begitu mudah terpengaruh dengan retorik pihak tertentu yang jelas tidak realistik, populis dan menjanjikan 'bulan dan bintang'.

Walau bagaimanapun, Allah SWT itu Maha Berkuasa dan Dia yang menentukan pihak manakah yang akan diberi kuasa pada PRU ke-14 nanti. Keputusan pilihan raya nanti hanyalah penyebab, namun di sebaliknya sudah tentu terdapat sejuta hikmah yang perlu kita redha ke atasnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com