Jentera BN Perlu Agresif Dekati Pengundi


MELAKA - Semua jentera parti Barisan Nasional (BN) perlu memperhebatkan usaha mengenal pasti pengundi di kawasan masing-masing supaya keluar mengundi calon BN sekiranya mahu menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Calon Parlimen Hang Tuah Jaya, Tan Sri Mohd Ali Rustam, berkata langkah itu perlu kerana dibimbangi pengundi BN akan dihasut oleh pembangkang pada saat-saat akhir, sebelum keluar membuang undi.

Beliau berkata, tumpuan perlu dilakukan juga terhadap pengundi kali pertama kerana mereka mungkin terdedah dengan pujuk rayu pembangkang yang menggunakan pelbagai taktik kotor untuk mempengaruhi.

"Saya amat berharap parti komponen BN, termasuk UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan MyPPP bergerak sebagai satu pasukan untuk mengenal pasti pengundi, terutama golongan muda supaya terus menyokong BN.

"Langkah ini perlu dilakukan secara berterusan, terutama ketika hari pembuangan undi kerana kita tidak mahu ambil risiko pihak pembangkang berjaya mempengaruhi mereka pada saat-saat akhir," katanya ketika ditemui di Pejabat UMNO Bahagian Bukit Katil, di sini, Khamis.

Yang turut hadir, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil, Datuk Yunus Hitam

Mohd Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Bukit Katil berkata, segala kesilapan dalam pilihan raya umum lalu perlu diatasi segera, termasuk di kawasan peti undi yang kurang mendapat sokongan pengundi BN.

"Kita perlu belajar daripada kesilapan lalu kalau kita mahu menang kali ini. Cari kelemahan lalu dan atasi segera untuk memastikan pengundi berpihak kepada calon BN,"katanya.

Pada PRU-13, Mohd Ali tewas bagi kerusi Parlimen Bukit Katil yang kini ditukar sebagai Hang Tuah Jaya kepada calon PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akim dengan majoriti 5,447 undi.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com