Jenazah 2 Penuntut M'sia Maut Kemalangan Di Indonesia Dalam Proses Dibawa Pulang


KUALA LUMPUR - Jenazah dua penuntut Malaysia yang maut dalam kemalangan di Pekanbaru, Riau, Indonesia dalam proses dibawa balik ke kampung halaman masing-masing.

Dalam kejadian 3.30 petang waktu tempatan itu, kedua-dua mangsa, Mohamad Shaiful Bukhari Ammat, 25, dan Ameer Hakimi Azman, 20, maut selepas motosikal yang mereka naiki melanggar sebuah lori yang berhenti di tengah jalan di Pekanbaru.

Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia berkata, pihaknya kini sedang melakukan urusan membawa balik jenazah ke Malaysia.

"Kami sedang usahakan laluan perjalanan terpantas untuk menghantar jenazah mereka ke kampung halaman masing-masing.

"Malah, ahli keluarga Ameer juga sudah tiba di Pekanbaru," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Kedua-dua mangsa adalah penuntut Universiti Islam Negeri Sultan Sharif Kasim Pekanbaru, Riau di Pulau Sumatera dalam jurusan Undang-undang Keluarga Islam dan Bimbingan Kaunseling Islam.

Katanya, kedua-dua penuntut terbabit dibawa ke Rumah Sakit Aulia yang berhampiran lokasi kejadian.

"Bagaimanapun, Amer dipindahkan ke hospital lain berdasarkan jangkaan awal pihak hospital bahawa kecederaan dia tidak terlalu serius.

"Namun pemeriksaan lanjut mendapati bahawa dia mengalami kecederaan parah pada tulang rusuk sebelum disahkan meninggal dunia.

"Saiful yang berasal dari Sabah disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5 petang waktu tempatan, manakala Ameer yang berasal dari Pulau Pinang dilaporkan meninggal dunia jam 5.35 petang di hospital berlainan," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com