Jari Telunjuk Dipatuk Tedung Hitam


SABAK BERNAM - "Biarpun saya dah masukkan ular dalam karung guni, namun jari tangan saya masih boleh disambar haiwan berbisa ini," demikian kata mangsa dipatuk ular tedung hitam, Masri Ismail, 66, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, Masri cedera pada bahagian jari telunjuk sebelah kiri selepas memasukkan reptilia jantan itu ke dalam guni di sebuah rumah jirannya di Kampung Parit 6 1/2 Barat, Sungai Besar.

Masri yang juga terkenal sebagai penangkap ular sejak lebih 10 tahun lalu berkata, dia dihubungi seorang jirannya yang memberitahu terdapat ular di pekarangan rumah.

"Saya terus ke rumah jiran untuk membantunya menangkap ular terbabit.

"Mulanya, saya ingat hanya seekor ular, tapi sejurus sampai ke rumah jiran, rupanya terdapat dua ekor ular yang sedang mengawan," katanya.

Menurut Masri, dia mengambil masa kira-kira 10 minit memasukkan dua ular dalam karung guni berasingan menggunakan batang besi dan penjerut tali.

"Mulanya, saya tangkap tedung betina dan kemudian tedung jantan.

"Tindak balas tedung jantan bila masuk dalam guni sangat agresif hingga mematuk jari tangan kiri saya yang diletakkan di luar guni berkenaan," katanya.

Ujarnya, selepas dipatuk ular, tangannya tiba-tiba kebas dan dia kemudiannya terus mengeluarkan darah kerana bimbang mengandungi bisa racun ular terbabit.

"Saya rasa sakit, tapi sebolehnya saya keluarkan darah terlebih dulu dan kemudiannya pulang ke rumah," katanya.

Masri berkata, dia kemudiannya dibawa seorang anak lelakinya ke Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam, untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, kejadian dipatuk ular jenis sama pernah berlaku pada Ogos 2015 dan ini merupakan kejadian kali kedua.

"Waktu kejadian kali pertama dulu, saya dipatuk ular pada bahagian jari telunjuk sebelah kanan dan semalam, jari telunjuk kiri pula," katanya.

Sumber– Sinar 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com