Jangan Rosakkan Bendera Parti Bertanding - TPM


BAGAN DATUK - Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana petugas parti yang merosakkan bendera parti lain yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan tegas itu membabitkan semua, sama ada petugas parti kerajaan mahupun pembangkang.

Serentak itu, beliau mengarahkan kepada Briged Gempur Pemuda Barisan Nasional (BN) supaya jangan sekali-kali mengoyak dan merosakkan atau menurunkan bendera parti lawan.

"Budaya kita bukan budaya gengsterism, bukan budaya kongsi gelap. Saya yakin dengan demokrasi, kita hormati mereka (lawan), kita pertahankan bendera mereka, kita terus hormati mereka supaya mereka akan turut hormat pada bendera kita.

"Jika mana-mana jentera Pemuda BN atau UMNO mengoyakkan bendera mereka (lawan), saya arahkan OCPD (Ketua Polis Daerah) untuk ambil tindakan terhadap Briged Gempur Pemuda... (kita ) tidak menutup (kesalahan) kalau jentera BN buat salah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap ketika melawat Pusat Daerah Mengundi Sungai Sumun di sini Khamis. Turut hadir, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan DUN Hutan Melintang, Datuk Khairuddin Tarmizi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, sebagai menteri bertanggungjawab, beliau perlu berlaku adil kepada parti lain bertanding dan mereka juga seharusnya menghormati BN.

Katanya, jika petugas parti lain melakukan kesalahan sama, pihaknya juga tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas dan tidak akan menutup kesalahan itu.

"Apa perlu nak bergaduh sangat... nak bertekak dan sebagainya (kerana bendera parti politik), kita ke masjid dan tanah kubur yang sama, kenduri yang sama kita satu kampung.. lepas pilihan raya nak masam muka buat apa?" katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid menafikan dakwaan kononnya parti komponen BN di Bagan Datuk merajuk dan tidak mahu turun berkempen kerana kerusi tidak diberikan kepada parti berkenaan.

"Ada orang fitnah dan bersuara kata dia (komponen BN Bagan Datuk) tak bersama .. ..saya nak sahkan dia (komponen) tetap bersama kita... jangan buat fitnah.

"Walaupun Presiden myPPP (Tan Sri M Kayveas) letak jawatan, Pengerusi myPPP Bagan Datuk (Samy Murugan) tetap dengan BN (berkempen) dan kita hormati semua kaum di Bagan Datuk," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com