Jangan 'Peram' Undi Pos


PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan warga Malaysia yang mendaftar sebagai pemilih dan termasuk dalam kategori undi pos supaya tidak membuat undian saat akhir, sekali gus melambatkan proses penghantaran undi.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, berkata pihaknya akan mula menghantar borang undi kepada pengundi yang layak bermula hari ketiga selepas penamaan calon.

"Apabila sudah terima, jangan simpan. Terus buat pilihan dan hantar kepada RO (Pegawai Pengurus Pilihan Raya).

"Kalau terima borang dan dia (pengundi) simpan sehingga tujuh hari dan saat akhir baru hantar ia sudah tentu memberikan masalah kepada SPR.

"SPR yakin 11 hari yang diperuntukkan memadai. Jika mereka hantar borang berkenaan saat akhir, janganlah jangka ia akan sampai tepat pada masanya," katanya pada sidang media Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) di sini, kelmarin.

Mohd Hashim berkata, sebaik borang undian berkenaan diterima oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, ia akan disimpan di tempat selamat sebelum dikeluarkan pada hari pengundian.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com