Jangan Menghina Ketika Berkempen


PETALING JAYA - Calon bertanding pilihan raya diingatkan agar tidak menghina atau merendahkan orang lain hanya untuk menaikkan diri ketika berkempen.

Pendakwah, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, dalam siri berkempen, percakapan berunsur fitnah dan ucapan menyentuh peribadi seseorang akan menjadi modal politik.

“Adab-adab pilihan raya mengikut cara Islam diingatkan supaya tidak sesekali melibatkan soal agama iaitu merendahkan agama lain, tidak boleh libatkan raja dan budaya kaum lain.

“Bahkan dalam parti Melayu dan Islam kempen sewajarnya berdasarkan keimanan, tanpa memburukkan orang lain hanya ingin menunjukkan kehebatan dan kelebihan diri,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, hal ini kerana ia ditegah dalam Islam.

Jika betul sebagai seorang yang mendukung ideologi Islam, maka mesti berdiri teguh dengan prinsip-prinsip keIslaman.

“Tanpa memaki hamun, menghina, menjatuhkan dan juga memfitnah orang lain kerana fitnah lebih buruk daripada membunuh.

“Jika datang berita-berita daripada orang fasik atau kurang iman walaupun dia Islam hendaklah kita tabayun atau siasat terlebih dahulu sumber yang benar agar tidak menyesal terfitnah,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, dalam era berhimpun di khalayak ramai memberi ucapan dengan tujuan menyatakan kita lebih, pastinya akan mencari sudut-sudut yang boleh menarik perhatian orang.

“Kadang-kadang terpaksa merendah atau menghina orang lain barulah boleh naikkan diri sendiri, ini sesuatu yang tidak boleh dalam Islam,” tegurnya.

Semestinya setiap calon bertanding mempunyai pandangan politik berbeza, jadi sebagai masyarakat yang diberi akal fikiran ALLAH SWT, perlu bijak menilai menerusi ceramah yang disampaikan.

“Dengan akal fikiran dan ilmu pengetahuan agama, kita boleh sukat sendiri siapa patut kita pilih tanpa perlu memburuk dan menjatuhkan kredibiliti orang lain.

“Parti-parti politik ini lazimnya amat berbangga dengan pendirian, persembahan dan tawaran mereka, namun adalah afdal jika calon dan ejen-ejen mereka berkempen mengajak menyetujui mereka tanpa memburukkan calon parti lawan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, tidak ada mana-mana agama menyuruh umatnya bertelagah sebaliknya berpadu dalam suasana harmoni meskipun dalam pertembungan pilihan raya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com