'Jangan Mati Ketika Sibuk Kejar Harta Dunia'


PETALING JAYA - Usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri berdoa, tidak dijemput Allah ketika dirinya sibuk mengejar harta dan kemewahan dunia.

Harapan itu disuarakan sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-31, pada Selasa.

"Saya selalu berdoa supaya saya mati dalam keadaan beriman, bukan ketika sibuk mengejar harta dunia.

"Alhamdulillah, pada usia 31 tahun, semua sudah saya kecapi. Saya berharap kehidupan saya sentiasa mendapat rahmat Allah," katanya kepada BH Online.

Ditemui sempena majlis kunjungan media di rumah agamnya di Kota Damansara, di sini, Aliff berkata, biarpun tidak berpendidikan tinggi, tidak mustahil untuk seseorang mengecap kejayaan.

Aliff mengambil contoh dirinya dan keluarga yang pernah menetap di rumah setinggan di Klang, suatu ketika dulu.

"Saya selalu memasang mahu memiliki banglo dan impian itu dipenuhi ketika usia 24 tahun. Selepas itu, saya dikurniakan gelaran Datuk dan dalam perjalanan untuk menerima pingat, saya menyimpan impian mahu memiliki kediaman seperti istana.

"Saya terus berusaha hingga akhirnya saya mendapat apa yang saya impikan. Jangan menyerah dan teruskan usaha untuk mencapainya," katanya.

Penyanyi Abang Nak Tegur itu berkata, mahligai yang dinamakan Palace Aliff Syukri itu didirikan sejak empat tahun lalu di atas tanah bernilai RM13 juta dan dilengkapi 30 bilik termasuk surau, pawagam mini serta bilik karaoke.

Katanya, kelengkapan rumah termasuk bahan binaan dibeli dari empat negara iaitu China, Indonesia, Portugal dan Itali. Aliff akan menukar perabot setiap enam bulan sekali.

Mengenai kecaman netizen, Aliff berkata, itu hak mereka kerana niatnya bukan untuk bermegah, sebaliknya berkongsi kejayaan selepas mengejar impian.

"Saya juga akan menjemput anak yatim berkunjung ke rumah saya dan bermalam di sini," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com