Jangan Layan Panggilan Potong Elektrik - TNB


KUALA LUMPUR - Jangan layan panggilan telefon kononnya diarah membayar bil Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana ia adalah sindiket penipuan.

Demikian nasihat TNB dan polis berikutan lebih 200 aduan yang diterima oleh syarikat utiliti berkenaan daripada pelanggan yang menerima panggilan telefon supaya melakukan pembayaran dalam tempoh dua jam atau bekalan akan dipotong.

Pengurus Besar Kanan (Perkhidmatan Pengguna), Bahagian Pembahagian TNB, Kamaliah Abdul Kadir berkata, notis pemotongan TNB akan diberikan bersama bil TNB dan hanya akan dikeluarkan ketika pemotongan dilakukan.

"Pengguna yang menerima panggilan berkenaan dinasihatkan supaya mengabaikannya dan menyemak status bil menerusi aplikasi myTNB atau menghubungi talian perkhidmatan pelanggan TNB di 1-300-88-5454 untuk maklumat lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Selain itu, katanya, TNB menasihatkan pelanggan supaya membayar bil elektrik dalam tempoh ditetapkan melalui saluran pembayaran yang sah iaitu di Kedai Tenaga, atas talian atau ejen kutipan yang sah.

"Orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi myTNB daripada Appstore atau Google Play," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Luthfi Ismail berkata, polis tidak menolak kemungkinan panggilan itu ada kaitan dengan sindiket penipuan.

"Orang ramai yang menerima panggilan berkenaan diminta agar membuat laporan polis dan pihak kami akan melakukan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com