Jangan Gantung Bendera Parti Dalam Masjid, Surau


KANGAR - Semua parti politik di negeri ini diingatkan tidak menggantung atau menaikkan apa sahaja bentuk propaganda parti di kawasan masjid.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kerjasama daripada semua pihak itu turut merangkumi kawasan surau, tanah perkuburan dan sekolah agama di negeri ini.

"Dalam kerancakan mengharungi kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak lama lagi bermula dari sekarang lagi, diharapakan semua pihak di negeri Perlis tidak menggantung atau menaikkan sebarang bentuk bendera, poster atau apa sekalipun propaganda parti politik masing-masing di kawasan berkenaan.

"Adalah tidak wajar sekiranya terdapat mana-mana pihak yang tidak membuktikan kematangan berpolitik, bertindak melampaui batas dan tidak sensitif dengan permintaan ini," titah baginda, petang semalam.

Baginda menjelaskan larangan itu adalah selaras dengan '7 Amanat DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail' yang melarang politik kepartian dibawa ke masjid di negeri ini.

Titah baginda, pengerusi serta ahli jawatankuasa masjid di seluruh negeri ini diminta mengambil amanah untuk menurunkan atau menanggalkan dengan serta merta secara konsisten tanpa mengira parti jika masih terdapat perkara sedemikian dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di dalam kawasan kariah masing-masing.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan menyerahkan sumbangan kecil Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada atlet veteran Perlis, Azizan Ali di perkarangan Masjid Nurul Mutaqqin Kampung Che Ok, Simpang Empat, di sini.

Turut berangkat, puteri kedua baginda Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Azizan yang berusia 71 tahun akan mengambil bahagian di dalam Kejohanan Olahraga Masters Terbuka Singapura pada 5 Mei depan.

Beliau pernah mengharumkan nama Perlis di peringkat dunia ketika mengambil bahagian di dalam Kejohanan Olahraga Masters Dunia di Jepun (1993) dan Afrika Selatan (1997), serta turut menyertai pelbagai kejohanan lain di peringkat Asia dan Kebangsaan sehingga kini.

Di Singapura nanti, beliau akan bertanding dalam acara lari pecut 100m dan lompat tinggi untuk kategori usia 70 tahun ke atas.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com