Jangan Cuba Ugut SPRM Dengan Peluru Hidup!


KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan amaran tegas kepada pihak yang cuba mengugut pegawai kanannya dengan menghantar peluru hidup serta nota berbaur ugutan ke rumah mereka.

Ketua Peseruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkafli Ahmad berkata, beliau mahu mereka yang melakukan perbuatan itu menghentikannya kerana pada SPRM tindakan itu adalah tindakan pengecut.

“Ia tidak akan sama sekali melemahkan semangat pegawai-pegawai SPRM daripada melaksanakan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kami.

“Malahan, perbuatan ugutan sedemikian hanya menyuntik lagi semangat kami untuk terus berjuang dalam memastikan hak masyarakat terbela daripada anasir-anasir rasuah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dzulkafli berkata, dua pegawai SPRM yang menerima bungkusan mengandungi peluru hidup dan nota berbaur ugutan itu telah membuat laporan polis dan SPRM akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis.

“SPRM juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak polis atas tindakan pantas mewujudkan pasukan khas bagi menyiasat kejadian tersebut dan mengenal pasti mereka yang terlibat dalam perbuatan itu,” katanya.  - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com