Jangan Berkempen Melangkaui Batas Dibenarkan Agama - Asyraf Wajdi


PASIR PUTEH - Calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini diingatkan tidak berkempen melangkau batas agama sehingga meruntuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang memberikan ingatan itu berkata mereka perlu mengawal kata-kata dan tingkah laku dalam berkempen.

"Akhlak Islam tidak sekali-kali membenarkan seseorang dengan sewenang-wenangnya menuduh dan menghukum orang lain berdosa sebab itu harus ada sempadan dan batasan (dalam berkempen)," katanya kepada pemberita selepas melakukan ziarah ke atas penduduk di Kampung Nara di sini, Khamis.

Katanya kemusnahan umat Islam di beberapa buah negara Islam di serata dunia antara lain berpunca daripada persengketaan akibat sangkaan buruk terhadap sesama sendiri.

Beliau berkata ia perlu menjadi ikhtibar kepada umat Islam di negara ini supaya lebih bertanggungjawab dengan menjaga akhlak agar tidak menerima nasib yang sama.

Asyraf Wajdi ialah calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Pasir Puteh bagi PRU14.- BERNAMA 

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com